Penduduk Napoh masih boleh keluar rumah

PUTRAJAYA: Penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Napoh, Kubang Pasu, Kedah masih boleh keluar rumah termasuk membeli keperluan dan makanan serta ke tempat kerja.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berbeza dengan PKPD biasa, penduduk di kawasan berkenaan masih boleh membeli makanan dan keperluan di restoran serta kedai runcit yang masih beroperasi.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh menikmati makanan di restoran terbabit, sebaliknya perlu membungkusnya untuk dibawa pulang.

"Apabila mereka sudah membuat ujian calitan untuk COVID-19, mereka boleh keluar dari kawasan perkampungan. Ia berbeza dengan PKPD.

"Pergerakan dalam kawasan PKPD Secara Pentadbiran... mereka masih boleh berjalan dalam kawasan tetapi mereka yang mahu keluar dari kawasan itu perlukan kebenaran dan disaring kesihatan seperti mengambil suhu dan sebagainya.

"Mereka dibenarkan bekerja tetapi sebelum keluar mereka perlu dipastikan negatif COVID-19. Bila nak keluar yang ada sekatan jalan raya, masih disaring suhu dan nama dilaporkan supaya jika berlaku apa-apa mereka boleh dikesan," katanya pada satu sidang media, hari ini.

Beliau berkata, keadaan di Napoh sama seperti PKPD Secara Pentadbiran yang dijalankan di Kampung Baru dan Pasar Chow Kit sebelum ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau menyedari timbul isu susulan bekalan makanan habis di kedai.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menambah bekalan di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tindakan sudah diambil terhadap aduan bahawa hotel yang digunakan untuk kuarantin wajib bagi mereka yang pulang dari luar negara berada dalam keadaan tidak sesuai serta makanan yang tidak berkualiti.

Beliau berkata, menu untuk mereka yang diletakkan dalam kuarantin wajib juga sudah ditukar.



Sumber : Penduduk Napoh masih boleh keluar rumah

Post a Comment

0 Comments