Penganjuran MAHA 2020 secara hybrid

PUTRAJAYA: Penularan COVID-19 di negara ini turut mengubah cara penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2020) apabila ia dijangka diadakan secara hybrid antara 26 hingga 29 November ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP semalam, bersetuju secara dasar dengan cadangan penganjuran MAHA 2020 yang akan diadakan secara fizikal dan maya (virtual).

Beliau berkata, pihak pengurusan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi untuk penganjuran pameran pertanian terbesar di negara ini.

Katanya, antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk hanya peserta yang diberi kad jemputan saja yang dibenarkan masuk ke tapak pameran manakala kehadiran mereka perlu direkodkan.

Peserta-peserta antarabangsa pula hanya dibenarkan terbabit secara dalam talian.

"Prosedur operasi standard (SOP) perancangan dan pelaksanaan akan diperhalusi dan dibincangkan lanjut dalam Mesyuarat JawatankuasaTeknikal," katanya pada sidang media, hari ini.



Sumber : Penganjuran MAHA 2020 secara hybrid

Post a Comment

0 Comments