Parti, calon PRK DUN Slim dibenarkan buka bilik gerakan

PUTRAJAYA: Parti dan calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dibenarkan membuka bilik gerakan parti dan bilik gerakan kecil sepanjang tempoh kempen pilihan raya sehingga hari mengundi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata parti dan calon perlu memastikan bilik gerakan terbabit berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pemantauan.

Beliau berkata, pengurusan dan petugas di bilik gerakan juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPR.

Katanya, ia adalah antara penambahbaikan terhadap garis panduan yang sebelum ini dan diguna pakai pada PRK DUN Chini sebelum ini.

"Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam bersetuju dengan cadangan Garis Panduan yang diguna pakai ketika PRK DUN Chini untuk diguna pakai pada PRK DUN Slim.

"Ada beberapa penambahbaikan Garis Panduan itu seperti kempen dan ceramah hanya dibenarkan di kawasan tertutup atau di kawasan berpagar saja bagi memudahkan proses pemantauan serta pemeriksaan suhu badan.

"Jumlah kehadiran perlu mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa," katanya pada satu sidang media hari ini.

SPR menetapkan PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini. Ia menjadi PRK kedua diadakan ketika tempoh PKP selepas PRK DUN Chini pada 4 Julai lalu.



Sumber : Parti, calon PRK DUN Slim dibenarkan buka bilik gerakan

Post a Comment

0 Comments