Penunjuk perasaan Thailand tuntut perubahan drastik

BANGKOK: Penunjuk perasaan di Thailand terus memberi tekanan terhadap tuntutan mereka bagi pembubaran Parlimen, pilihan raya baharu dan mengubah perlembagaan.

Pemimpin kumpulan itu memaklumkan, mereka akan meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha jika gagal bertindak bagi perubahan itu.

"(Tuntutan kami) cukup jelas untuk kerajaan mendengar dan menuruti.

"Untuk menubuhkan jawatankuasa bagi mendengar adalah seperti satu tindakan. Ia seperti persembahan tanpa makna. Adakah ia untuk melengahkan masa? Mereka fikir kami akan menghilangkan diri. Mereka percaya kami akan lenyap.

"Jadi, mereka menubuhkan jawatankuasa untuk melengahkan masa tapi faktanya adalah kami mahukan perubahan sebenar. Kami mahu menyatakan tuntutan kami kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, bukan jawatankuasa yang hanya menurut perintah," kata ketua penunjuk perasaan, Tattep Ruangprapaikitseree.

Ketika pertemuan di hadapan Monumen Demokrasi di Bangkok, lapan pemimpin dari Free People Movement, yang sebelum ini dikenali sebagai Free Youth, mengumumkan rancangan untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada 16 Ogos ini.

Penunjuk perasaan memegang sepanduk yang tertera: "Perlembagaan perlu dipinda. Demokrasi mesti datang daripada rakyat" dan "Kami tidak benci negara kami. Kami benci kediktatoran. Tiada rampasan kuasa."

Pada awal minggu ini, Prayuth berkata, beliau akan mempertimbangkan tuntutan penunjuk perasaan, namun Tattep mendakwa kenyataan pemimpin itu hanyalah taktik untuk menangguh-nangguhkan kerana Perdana Menteri itu tidak mungkin bersetuju untuk membubarkan Parlimen atau mengadakan pilihan raya baharu.

Selepas lebih lima tahun situasi tenang sejak rampasan kuasa oleh tentera pada 2014, penunjuk perasaan anti kerajaan muncul kembali, kebanyakannya di sekolah dan kampus universiti di ibu negara Bangkok serta bandar lain di Thailand.

Penunjuk perasaan, yang majoritinya orang muda, sangat tidak berpuas hati dengan pentadbiran sedia ada.

Prayuth yang juga bekas ketua tentera, mula mengambil alih kuasa pada 2014, dan terus mengekalkan kuasa melalui pilihan raya 2019, yang dilihat secara meluas dimanipulasi untuk berpihak kepadanya. - AGENSI



Sumber : Penunjuk perasaan Thailand tuntut perubahan drastik

Post a Comment

0 Comments