300,000 rakyat Lubnan enggan tinggalkan rumah

BEIRUT: Ibu kota Lubnan masih berkabung hari ini selepas letupan besar memusnahkan Pelabuhan Beirut awal minggu ini, yang membawa kemusnahan dianggarkan berjumlah antara AS$10 hingga AS$15 bilion (RM41.9 hingga RM62.8 bilion).

Letupan itu mengorbankan 154 nyawa, manakala 6,000 lagi cedera, dengan sejumlah orang masih hilang, demikian menurut laporan agensi berita Anadolu.

Pesakit diabetes dan darah tinggi, Fadia Naserm memberitahu agensi berkenaan, ketika tragedi berlaku, dia memeluk anak lelakinya dan menutup mata mereka.

"Kami fikirkan ia adalah insiden tembak menembak pada awalnya, saya pergi memeriksa apa yang berlaku apabila merasakan sesuatu seperti gempa bumi.

"Apabila kami membuka mata, kami tidak dapat melihat antara satu sama lain kerana banyak habuk. Dalam masa seketika saja, semuanya musnah," katanya.

Karmen Alam berkata, 'dia mendengar bunyi pesawat', diikuti satu letupan.

"Dalam masa kurang sesaat, kami tercedera namun terselamat.

"Kami tidak tahu apa yang akan berlaku, lebih daripada apa yang sudah berlaku.

"Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada para syuhada," katanya.

Gabenor Marwan Abboud dalam satu kenyataan memaklumkan, dianggarkan 300,000 penduduk di Beirut hilang tempat tinggal akibat letupan itu, namun kebanyakannya enggan meninggalkan kediaman mereka yang sudah tidak berdinding dan tingkap.

Datuk Bandar Jamal Itani mengesahkan 'kebanyakan penduduk tidak mahu meninggalkan kediaman mereka... sebab itu kami hanya menyediakan tempat tinggal kepada 10 keluarga di luar ibu negara'.

Katanya, pihak perbandaran menghantar pasukan bersama bantuan kepada keluarga yang terbabit dan bagi membantu mengalihkan sisa runtuhan dari rumah serta memasang kembali tingkap yang pecah.

"Apa yang disediakan itu tidak mencukupi dan kami mencari negara penderma bagi penyelesaian," katanya.

Kerajaan mengumumkan penubuhan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat letupan yang mengorbankan banyak nyawa itu, manakala pihak lain menuntut supaya siasatan antarabangsa dijalankan.

Letupan itu menggegarkan Lubnan ketika negara itu sedang berdepan krisis ekonomi terburuk, termasuk kejatuhan dramatik nilai mata wang pound berbanding dolar. - BERNAMA



Sumber : 300,000 rakyat Lubnan enggan tinggalkan rumah

Post a Comment

0 Comments