SEBUT saja Teluk Intan, Perak pasti kita akan terus mengingati menara condong dan udang galah yang sememangnya cukup sinonim dengan bandar yang dahulunya dikenali dengan nama Teluk Anson itu.
Bandar yang terletak kira-kira 62 kilometer dari Ipoh itu turut menyimpan sebahagian sejarah Perak kerana pernah menjadi pelabuhan sibuk dengan aktiviti perdagangan suatu ketika dahulu.
Malah, suasana pekan lama dengan deretan kedai berusia lebih 60 tahun yang masih wujud juga pasti akan mengembalikan memori silam kepada pengunjung.
Di sebalik semua itu, Teluk Intan kini menawarkan tarikan baharu eko pelancongan yang belum diterokai sepenuhnya iaitu sebuah pulau yang dikenali sebagai Pulau Bangau.
Lebih unik, kewujudan pulau seluas kira-kira enam hektar yang disedari 16 tahun lalu itu terbentuk daripada beting pasir dan menjadi tempat persinggahan burung bangau dan burung hijrah di Sungai Perak.
Kesempatan penulis menyusuri Sungai Perak dan meneroka Pulau Bangau, baru-baru ini meninggalkan memori indah yang sukar dilupakan.
Mana tidaknya, penulis yang kurang gemar aktiviti membabitkan air terus terpukau apabila disajikan panorama indah burung berterbangan yang disusuli dengan kicauan unggas itu ketika matahari terbenam.
Malah, lebih mengujakan penulis berpeluang melihat dengan lebih dekat anak burung bangau yang baharu menetas dalam sarang yang dibuat pada pokok berembang.
Penulis dimaklumkan pulau berkenaan digelar sebagai Pulau Bangau berikutan populasi burung bangau yang banyak di situ dengan terdapat 10 spesies selain beberapa jenis burung lain.
Antara spesis burung bangau yang ada seperti bangau besar, bangau batu, bangau bakau, bangau Cina, bangau kendi, bangau kerbau, bangau paya, Little Egret, Cattle Egret dan Egret Meageret selain burung lain seperti helang, raja udang dan enggang.
Burung bangau dan pelbagai spesies burung lain akan mula pulang selepas mencari makan pada lewat petang bermula jam 6.30 petang, namun pergerakan pulang mereka ke pulau itu turut mengikut keadaan cuaca.
Ribuan burung yang pulang secara berkumpulan dengan bentuk seperti huruf V sememangnya memberikan pemandangan indah, lebih-lebih lagi berlatar belakangkan suasana matahari terbenam.
Untuk ke pulau berkenaan pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan tujuh operator bot pelancongan yang turut menawarkan beberapa pakej lain termasuk melihat kelip-kelip dengan harga berpatutan.
Pulau Bangau juga antara lokasi yang menawarkan Travel Baucer #TravelPerakLah kepada pelancong bernilai RM30 sempena inisiatif kerajaan Perak melalui Tourism Perak untuk membantu memulihkan sektor pelancongan domestik.
Nyatanya, keistimewaan dan keindahan Pulau Bangau mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa untuk meneroka pengalaman dengan cara tersendiri.
Pemilik River Cruise Teluk Intan, Sahril Mustafa,32, berkata, untuk ke Pulau Bangau pengunjung perlu menaiki bot dari Jeti Penambang Pokok Asam yang mengambil masa hanya 10 hingga 15 minit perjalanan sahaja.
Menurutnya, pulau berkenaan menjadi tarikan dan destinasi persinggahan burung sehingga ada yang membuat sarang sekali gus dapat mempelbagaikan produk pelancongan di Teluk Intan.
"Burung bangau dan pelbagai burung lain akan mencari makan di sawah padi di sekitar Hilir Perak seperti Sungai Manik sehingga ke Sungai Besar, Selangor sebelum pulang ke pulau itu.
"Sebelum ini, burung bangau tidak banyak sangat, namun sejak beberapa tahun lalu populasinya semakin bertambah dan awal tahun ini ada pertambahan dua spesies iaitu Little Cormorant dan Lesser Adjutant (bangau).
"Burung bangau tempatan akan bertelur dua kali setahun iaitu pada Mei hingga Julai dan November hingga Februari. Ketika ini lebih menarik kerana musim pembiakan sesi pertama," katanya.
Katanya, lebih menarik lagi apabila pengunjung juga berpeluang menyusuri Sungai Perak dengan pakej yang ditawarkan bermula pada harga RM15 hingga RM60 mengikut usia.
"Waktu pagi juga adalah waktu yang menarik kerana banyak aktiviti nelayan di persisir sungai bermula, tetapi untuk melihat burung masa yang lebih sesuai pada waktu petang tetapi perlu bergantung dengan pasang surut air.
"Pada waktu air pasang besar adalah masa yang terbaik untuk meneroka kawasan kerana boleh melihat pelbagai aktiviti burung bangau dengan lebih dekat, namun jika cuaca tidak baik aktiviti tidak akan dijalankan," katanya.
Setiausaha Persatuan Pelancongan Teluk Intan, Iskandar Zulqarnain Zaheruddin berkata, Pulau Bangau menjadi produk pelancongan yang mempunyai potensi tinggi menarik kunjungan pelancong di Teluk Intan.
Katanya, selain burung bangau dan kelip-kelip, antara tarikan lain yang boleh dilawati adalah antikuiti kepala kereta api, kilang kayu balak, Jabatan Laut Syah Bandar, tokong dan surau lama, ternakan sangkar ikan, kapal sedut pasir sungai dan serombong kapal tenggelam selain beberapa tarikan lain.
"Pihak berkaitan juga dalam usaha membangunkan Pulau Bangau membabitkan infrastruktur pelancongan seperti jeti serta kawasan parkir selain penjagaan kawasan dan perlindungan pulau berkenaan," katanya.
Sementara itu, pelancong dari Sungai Buloh, Selangor, Sohaila Ishak, 31, berkata kunjungan pertamanya ke pulau berkenaan memberikan pengalaman menarik yang sukar diperoleh di tempat lain.
Menurutnya, sebelum ini dia tidak pernah mengetahui kewujudan pulau itu dan mengakui perjalanan jauh dilalui sangat berbaloi terutama dapat melihat anak burung bangau dalam sarangnya.
"Saya sangat teruja melihat sekumpulan burung berterbangan dengan berlatar belakangkan pemandangan yang indah. Paling mengujakan apabila berpeluang melihat dengan lebih dekat 'baby' bangau yang baharu menetas.
"Sebelum ini, lokasi wajib yang dikunjungi apabila datang ke Teluk Intan pastinya Menara Condong dan kini dengan adanya Pulau Bangau ia akan menambahkan produk pelancongan negeri ini," katanya.
Sumber : Permata tersembunyi Teluk Intan
0 Comments