JAKARTA: Amaran penerbangan dikeluarkan susulan gunung berapi Sinabung di wilayah Utara Sumatra di bahagian timur Indonesia meletus hari ini, demikian menurut Agensi Gunung Berapi Kebangsaan.
Gunung berapi setinggi 2,475 meter yang terletak di daerah Karo itu mengeluarkan debu sehingga mencapai ketinggian dua kilometer (km).
Agensi itu memaklumkan, debu berkenaan menuju ke bahagian timur kawah gunung berapi.
Pesawat dilarang terbang di ruang udara di atas kawasan awan panas itu selepas notis pemantauan gunung berapi bagi penerbangan dengan tahap jingga dikeluarkan sejak semalam.
Gunung berapi berkenaan berpotensi untuk terus meletus, dengan mengeluarkan awan panas.
Hujan debu gunung berapi yang lebat mengundang bahaya kepada kawasan di cerun gunung dan bahan dari gunung mungkin akan tersebar jauh oleh angin di kawasan luar cerun.
Bagaimanapun, masih belum ada bahaya yang berpotensi tinggi di sekitar gunung berapi, yang mana tahap amaran berada pada tahap kedua tertinggi.
Zon larangan diisytiharkan dalam radius 3 km dari kawah dan 4 km bagi kawasan yang terletak dari timur ke utara kawah gunung, serta 5 km bagi kawasan dari selatan ke timur kawah.
Seramai 16 orang terbunuh dan ribuan orang terpaksa meninggalkan rumah mereka apabila Gunung Sinabung meletus pada 2014.
Gunung Sinabung adalah satu daripada 129 gunung berapi yang aktif di Indonesia, sebuah negara kepulauan luas dengan lebih 17,500 pulau. - AGENSI
Sumber : Amaran penerbangan dikeluarkan akibat letusan Gunung Sinabung
0 Comments