Pelantikan Ahli Majlis PBT perlu penuhi kriteria

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapati kurang 10 peratus daripada kira-kira 3,000 ahli majlis yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kelayakan diperlukan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata pelantikan ahli majlis dalam kalangan ahli politik perlu memenuhi kriteria dan syarat bagi memastikan mereka berkemahiran mengisi jawatan berkenaan.

"Saya melawat ke Afrika Selatan seperti Rwanda dan Uganda, semuanya negara dunia ketiga. Mereka melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan sejak 20 tahun lalu tetapi saya bukan kata kita perlu ikut mereka.

"Tahap kaunselor di sana setaraf menteri yang boleh berhujah dalam forum antarabangsa, namun kalau saya bandingkan dengan pelantikan ahli majlis sedia ada dalam kalangan parti politik di negara kita, rasanya tak sampai 10 peratus daripada 3,000 ahli majlis mempunyai kualiti sedemikian.

"Dari segi lantikan, KPKT meletakkan syarat mesti penduduk setempat, ada kelayakan dan sebagainya. Ini pun tidak mampu untuk dilaksanakan untuk menaikkan taraf dan memperhebat serta memberdayakan kerajaan tempatan," katanya dalam Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai usaha KPKT bagi menyemarakkan sistem demokrasi negara dalam kalangan PBT.

Mengulas syor mengadakan siaran langsung membabitkan mesyuarat PBT, Zuraida berkata, KPKT memberi galakan kepada PBT untuk demikian sebagai langkah membabitkan sama pemegang taruh lain seperti masyarakat.

Dalam tempoh 2017 hingga kini, katanya, sebanyak 16 PBT mengamalkan siaran langsung mesyuarat majlis untuk disaksikan masyarakat.

"Antaranya di Johor ada empat PBT, Kedah (satu), Kelantan (dua), Melaka (dua), Pahang (dua), Perak (satu), Perlis (satu), Pulau Pinang (satu) dan Terengganu (dua).

"Untuk menyediakan platform siaran langsung ini, KPKT harus mengeluarkan semua perbelanjaan kepada PBT dengan purata RM80,000 bagi setiap PBT. Bagi fasa pertama, kita mulakan dengan enam PBT dan fasa kedua 10 PBT," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan diadakan selepas mengambil kira tahap kesediaan masyarakat dan PBT.

"Dalam langkah kecil ke arah meningkatkan pendemokrasian di peringkat PBT, kerajaan tidak akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

"Ia (pilihan raya kerajaan tempatan) satu perkara yang drastik memandangkan masyarakat dan PBT tidak bersedia melaksanakannya," katanya.



Sumber : Pelantikan Ahli Majlis PBT perlu penuhi kriteria

Post a Comment

0 Comments