Model baharu bantu kelangsungan zoo terkesan pandemik COVID-19

TAIPING: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bakal mengemukakan satu model baharu untuk memastikan kelangsungan zoo serta pusat pameran tetap (PPT) terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata inisiatif itu juga sebagai persediaan jangka panjang menghadapi pandemik berkenaan yang turut menjejaskan usaha memulihara hidupan liar membabitkan aspek aliran tunai dan kos pengurusan.

Beliau berkata, ia berikutan kehadiran pengunjung ke zoo atau PPT amat kurang dalam tempoh tiga bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Kita akan mengumumkan model itu selepas ia dibentangkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam tempoh sebulan lagi. Pihak yang berkenaan akan dipanggil untuk perbincangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, pula berkata model berkenaan akan membolehkan zoo atau PPT terbabit sekurang-kurang memperoleh 'modal pusingan' melalui diplomasi dengan agensi atau jabatan lain, selain strategi pemasaran produk berkaitan hidupan liar.

"Contohnya, jika ada sayur atau buah-buahan diperoleh hasil rampasan agensi tertentu, ia akan disalurkan (sebahagian) kepada zoo atau PPT sebagai makanan haiwan, atau melalui jualan cenderahati berkaitan haiwan di premis terbabit di luar, termasuk secara dalam talian.

"Belum ada nama khas diberikan kepada model ini. Kita menjangkakan dengan usaha ini, zoo atap PPT dapat 'bertahan' sekurang-kurang dalam tempoh enam bulan jika keadaan seperti PKP fasa satu berulang yang menyaksikan bilangan pengunjung susut mendadak," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Shamsul Anuar berkata, penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 akan ditambah baik dengan pindaan dijangka dibentangkan tahun ini.

"Selain itu, penalti bagi kesalahan mengikut akta berkenaan akan ditingkatkan kepada hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda RM1 juta, berbanding penjara minimum tiga tahun dan denda RM500,000 ketika ini," katanya.



Sumber : Model baharu bantu kelangsungan zoo terkesan pandemik COVID-19

Post a Comment

0 Comments