KUALA LUMPUR: Pertembungan dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dijangka menghangatkan saingan badminton Divisyen 1 Kejohanan Jemputan BAM yang dijadual bermula Rabu ini.
Atas kertas, Aaron-Wooi Yik tampak lebih unggul dengan status sebagai pasangan nombor satu negara dan menghuni ranking nombor sembilan dunia berbanding V Shem-Wee Kiong ke-14.
Bagaimanapun, pengalaman dimiliki V Shem-Wee Kiong yang kini bergerak secara profesional selain status selaku pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 tidak boleh diketepikan begitu saja.
Justeru, pertembungan kedua-dua pasangan negara itu nanti pastinya akan mencuri tumpuan bagi membuktikan siapa lebih unggul di atas gelanggang.
Bagi Aaron, dia sememangnya sudah tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan itu nanti selepas lima bulan tanpa sebarang aksi kompetitif.
Pemain berusia 23 tahun itu, berkata biarpun hanya membabitkan persaingan antara pemain kebangsaan, namun dia percaya ia tetap menjanjikan aksi kompetitif.
"Saya tetap memandang serius kejohanan ini, kerana sudah lama kami tidak ada kejohanan. Mungkin ini juga akan menjadi satu-satunya kejohanan untuk kami tahun ini kerana belum ada kepastian lagi kejohanan antarabangsa disambung semula.
"Persaingan tetap sengit apatah lagi menentang rakan sepasukan. Masing-masing sudah tahu corak permainan masing-masing," katanya yang muncul naib juara Seluruh England 2019 bersama Wooi Yik.
Seramai 52 pemain termasuk lapan wakil profesional akan beraksi dalam saingan Divisyen 1 membabitkan semua lima acara.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan kejohanan dalaman selepas saingan peringkat antarabangsa ditangguh atau dibatalkan susulan pandemik COVID-19.
Sumber : Pertarungan dua beregu lelaki kebangsaan dijangka hangat
0 Comments