Polis pertingkat pemeriksaan premis di Kubang Pasu

JITRA: Polis mempertingkatkan operasi pemeriksaan premis sekitar daerah ini bagi memastikan peniaga menyediakan alat pemeriksa suhu badan dan mencatat butir pelanggan sebagai langkah mengesan individu dijangkiti COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur, berkata sekiranya ada premis dikesan tidak melaksana prosedur itu, pemilik boleh dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Jelasnya, rekod pelanggan penting bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan individu berkaitan sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 di kawasan itu.

"Seperti yang berlaku di kedai nasi kandar di Napoh, kita agak sukar mengesan pelanggan yang singgah makan dan terpaksa bergantung kerjasama mereka melakukan saringan di klinik kesihatan.

"Penduduk yang sedang menjalani kuarantin juga diminta mematuhi arahan Kementerian Kesihatan supaya berada di rumah dan tidak keluar sepanjang tempoh itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) dikenakan ke atas penduduk empat mukim di Kubang Pasu, susulan penularan pandemik COVID-19 Kluster Sivagangga sehingga 30 Ogos depan.

Chunng Tsaur berkata, berikutan itu enam sekatan jalan raya dilakukan pihaknya membabitkan 96 anggota yang bertugas 24 jam bagi mengawal pergerakan penduduk di kawasan berkenaan,

"Kita minta semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis di sini, berdaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan operasi premis mereka.

"Aplikasi itu dapat menyimpan rekod pelanggan yang datang ke premis dan memudahkan proses pengesanan kontak rapat," katanya.



Sumber : Polis pertingkat pemeriksaan premis di Kubang Pasu

Post a Comment

0 Comments