Polis tumpas sindiket judi dalam talian, 32 ditahan

KUALA LUMPUR: Sindiket judi dalam talian yang dipercayai turut menjalankan kegiatan Macau Scam tumpas susulan serbuan ke atas empat unit kondominium mewah di Soho [email protected] di Jalan Perak di sini, petang tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, seramai 30 warga tempatan terdiri 26 lelaki dan empat wanita serta dua warga China termasuk seorang wanita ditahan.

Serbuan dilakukan lima pegawai dan 25 anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Sumber memaklumkan, siasatan mendapati sindiket berkenaan beroperasi di empat unit 'penthouse' di kondominium terbabit sejak lima bulan lalu dengan kadar sewa RM15,000 setiap unit.

Antara telefon bimbit milik suspek yang dirampas. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Antara telefon bimbit milik suspek yang dirampas. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Antara suspek yang ditahan ketika serbuan ke pejabat yang menjalankan penipuan dalam talian di Jalan Perak, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Antara suspek yang ditahan ketika serbuan ke pejabat yang menjalankan penipuan dalam talian di Jalan Perak, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Sindiket dipercayai mempromosikan kegiatan judi dalam talian, perniagaan mata wang asing serta Macau Scam dengan menjadikan warga China, Taiwan dan Hong Kong sebagai sasaran.

"Kita dapati sindiket ini mampu menjana keuntungan hampir RM100,000 dalam tempoh sehari hasil kegiatan itu," kata sumber.

Sumber sama memaklumkan, siasatan mendapati setiap pekerja yang menjalankan operasi di situ dibayar gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan oleh sindiket.

Semua suspek yang berusia antara 17 hingga 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan pelbagai jenis komputer dan telefon bimbit dipercayai digunakan untuk kegiatan haram itu dirampas.



Sumber : Polis tumpas sindiket judi dalam talian, 32 ditahan

Post a Comment

0 Comments