SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dipilih sebagai pemimpin paling disukai di negara itu, menerusi satu tinjauan hari ini, didorong tindakan kerajaannya melaksana skim subsidi upah ketika menangani pandemik COVID-19 serta usaha mengawal penyebaran wabak itu.
Newspoll yang dijalankan akhbar The Australia itu menunjukkan Morrison mendapat penilaian terbaik berbanding pemimpin pembangkang sejak lebih lima tahun.
Sebelum ini, populariti Morrison menurun ekoran usahanya menangani kebakaran belukar akhir tahun lalu, namun dia memperbaiki kedudukannya menerusi tindakannya mengawal penyebaran wabak COVID-19, ketika negaranya menghadapi gelombang jangkitan baharu di negeri Victoria.
Morrison menolak keengganan pemerintah konservatifnya dengan menjanjikan perbelanjaan bernilai kira-kira AU$100 bilion (RM300 bilion) kepada majikan untuk mengelak kakitangan mereka diberhentikan.
Kerajaannya minggu lalu melonggarkan peraturan sebagai memenuhi syarat skim subsidi upah ekoran peningkatan jangkitan COVID-19 di Victoria yang memaksa sebahagian besar ekonomi ditutup.
Sebanyak 21,400 kes jangkitan dan 314 kematian direkodkan akibat virus itu setakat ini, Australia dilihat lebih kehadapan berbanding banyak negara maju lain dalam tindakannya mengawal wabak, dibantu pelaksanaan perintah berkurung yang menyebabkan pengangguran meningkat hingga 10 peratus.
Bank pusat Australia menurunkan prospek ekonomi Australia pada Jumaat lalu dan memberi amaran kadar pengangguran akan tetap tinggi selama beberapa tahun.
Penilaian kedudukan Morrison kekal berada pada tahap tinggi, 68 peratus naik dua mata berbanding mereka yang tidak berpuas hati dengan prestasinya, menurut tinjauan itu.
Pengundian dibuat berdasarkan tinjauan ke atas lebih dari 1,500 pemilih di seluruh ibu kota Canberra dan wilayah lain bermula Rabu hingga Sabtu. - AGENSI.
Sumber : Populariti PM Australia naik
0 Comments