BERSATU sedia pinda perlembagaan hapus jawatan pengerusi

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia meminda perlembagaannya bagi menghapuskan jawatan pengerusi dalam usahanya memperkasa parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata masalah yang dihadapi parti itu ketika ini disebabkan wujudnya dua nakhoda dalam sebuah kapal.

"Kalau kita ada dua nakhoda dalam satu kapal, inilah (masalah) yang kita hadapi. Itulah yang perlu kita terangkan kepada akar umbi dan insya-Allah pada masa depan, kalau perlu kita pinda perlembagaan (parti) atas dasar memperkasa parti, kita akan buat.

"Kita sudah nampak masalahnya. Hanya perlu seorang nakhoda dalam sebuah kapal. (Kalau perlu) kita akan hapuskan jawatan (pengerusi) itu," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada BERSATU tergugat dengan gerakan Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu, Mohd Redzuan menyifatkan ia sebagai kebangkitan untuk memperkasakan lagi BERSATU yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu.

"Ada pertindihan (kuasa presiden dan pengerusi) sebab itu kefahaman kena diberikan kepada akar umbi, apa maksud perjuangan kita dalam BERSATU?

"Kita melihat hari ini siapa yang mahu tinggalkan parti, kita perlu melihat asas perjuangan mereka. Jika mahu menentang kleptokrasi, kita sudah melakukannya," katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Sementara itu, beliau berkata, tiada bahagian BERSATU terbubar susulan tindakan segelintir pihak yang mengumumkan keputusan keluar parti baru-baru ini.

Beliau menegaskan, isu pembubaran itu tidak timbul kerana bahagian terbabit masih berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Jika kita melihat perlembagaan parti, kalau ahli jawatankuasa (AJK) itu berhenti atau diberhentikan, bahagian terbabit tidak bubar kerana MPT boleh melantik atau memastikan bahagian itu tetap wujud.

"Jadi tidak timbul isu terbubar kerana yang berhenti adalah AJK bahagian dan MPT berkuasa untuk mengadakan mesyuarat bahagian bagi mengadakan pelantikan baharu," katanya.



Sumber : BERSATU sedia pinda perlembagaan hapus jawatan pengerusi

Post a Comment

0 Comments