KUALA LUMPUR: Dua warga asing dalam rakaman video tular yang memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan dipukul di tempat parkir kereta, akan dikenakan tindakan sekatan keluar dari negara ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya sudah membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk mengenakan sekatan perjalanan keluar dari negara ini terhadap dua lelaki berkenaan.
Siasatan mendapati mangsa dan suspek dalam rakaman video itu adalah warga Nepal masing-masing berusia 26 dan 35 tahun.
"Kami sudah membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk sekat mereka keluar dari negara ini, dan hasil semakan mendapati mereka masih berada di dalam negara," katanya kepada Bernama, hari ini.
Pada 31 Julai lalu, satu rakaman video berdurasi 44 saat tular dalam media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan dipercayai warga asing, dipercayai dengan menggunakan sebatang kayu.
Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sedang mengesan mangsa dan suspek yang identiti mereka sudah dikenal pasti.
Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Wangsa Maju, 7 Julai lalu. – BERNAMA
Sumber : Pukul pengawal keselamatan: Mangsa, suspek disekat keluar Malaysia - Polis
0 Comments