SUNGAI PETANI: Polis menerima laporan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai COVID-19 yang dikaitkan dengan perniagaan santan di Tikam Batu, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata pemilik perniagaan itu, seorang wanita berusia 33 tahun membuat laporan jam 12.59 tengah hari tadi.
"Wanita terbabit mendakwa membaca satu hantaran melalui Facebook yang menyatakan kedai miliknya yang menjual santan di pasar Tikam Batu telah terkena jangkitan COVID-19.
"Dia juga menerima rakam layar melalui aplikasi WhatsApp berhubung perkara sama, berikutan itu mangsa mendakwa perniagaan terjejas akibat penyebaran berita palsu itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berita berkenaan mendakwa salah seorang ahli keluarga wanita terbabit yang bekerja di Jitra dijangkiti COVID-19 dan didapati membantu keluarganya di kedai santan berkenaan.
Shamsudin berkata, semakan Facebook pemilik akaun terbabit didapati hantaran berkenaan sudah dipadam.
Siasatan awal mendapati, wanita terbabit menafikan berita yang disebarkan dan mendakwa dia tidak membuat saringan COVID-19 dan tidak bekerja di Jitra.
"Dia mendakwa kakaknya sahaja yang bekerja di Pertubuhan Peladang Kawasan di Jitra Kedah, kakaknya sudah membuat saringan COVID-19, pada 2 Ogos lalu di Klinik Kesihatan Kuala Nerang, namun keputusan saringan masih belum di peroleh.
"Kakaknya dikatakan tidak terbabit secara langsung dalam penjualan santan di kedainya dan balik ke Tikam Batu seminggu sekali," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sumber : COVID-19: Peniaga santan buat lapor polis
0 Comments