Reman suspek jual organ manusia dilanjutkan

KUCHING: Tempoh tahanan reman lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan organ manusia dilanjutkan lima hari sehingga 26 Ogos ini.

Suspek yang memakai baju lokap polis berwarna jingga dibawa ke mahkamah pagi ini diiringi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nor Elyanis Mohd Yusoff, bagi mendapatkan perintah lanjutan itu.

Sebelum ini, suspek berusia 48 tahun itu direman tujuh hari sejak 14 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Lelaki terbabit ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, 13 Ogos lalu selepas menyedari dirinya diburu polis.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Lelaki terbabit diburu polis berikutan artikel dalam portal berita The Sun yang berpangkalan di United Kingdom pada 8 Ogos lalu yang mendedahkan aktivitinya menjual organ kepada seorang wartawan akhbar terbabit yang menyamar sebagai pembeli.

Dalam pendedahan kepada wartawan The Sun yang dirakam menerusi kamera tersembunyi itu dia mendakwa boleh mengatur urusan transplan organ kepada warga Britain dengan kos 85,000 Pound Sterling (RM465,000).



Sumber : Reman suspek jual organ manusia dilanjutkan

Post a Comment

0 Comments