Saiful Azmi buat laporan polis kerana dikaitkan rasuah

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menafikan beliau terbabit atau mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan terbabit rasuah untuk memberi kelulusan dalam projek pasir di negeri ini.

Serentak itu, beliau membuat laporan polis hari ini bagi menafikan dakwaan itu dan sekali gus membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.

"Saya ingin menegaskan saya tiada sebarang pengetahuan dan tidak terbabit dengan dakwaan itu. Saya juga secara peribadi atau melalui mana-mana wakil tidak pernah meminta sebarang imbuhan seperti didakwa.

"Laporan polis sudah dibuat dan saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan," katanya ketika ditemui media, hari ini.

Saiful Azmi membuat laporan polis susulan dakwaan yang mengaitkan dirinya terbabit dengan rasuah bernilai RM500,000 bagi kelulusan projek pasir di negeri ini.

Beliau yang diiringi peguamnya, Kamaruzaman Abdul Wahab membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 2.17 petang, hari ini.

Saiful Azmi dikaitkan dengan tuduhan rasuah selepas tular di media sosial beberapa tangkap layar perbualan melalui aplikasi WhatsApp antara pegawai kanan sebuah institusi milik kerajaan negeri dengan seorang individu dipercayai seorang kontraktor.

Dalam perbualan itu, pegawai terbabit yang memperkenalkan diri sebagai wakil bagi pihak ADUN Kemasik meminta imbuhan sebanyak RM500,000 sebagai syarat kelulusan projek pasir di Terengganu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI), Nurul Islam Mohamed Yusoff yang dikaitkan sebagai pegawai kanan yang menjadi wakil kepada ADUN Kemasik itu turut menafikan dakwaan berkenaan.

Nurul Islam mendakwa hanya mengetahui dakwaan itu selepas dimaklumkan beberapa rakannya dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.



Sumber : Saiful Azmi buat laporan polis kerana dikaitkan rasuah

Post a Comment

0 Comments