Singapura kurangkan kuarantin daripada 14 hari ke 7 hari

SINGAPURA: Republik ini mengurangkan tempoh kuarantin COVID-19 daripada 14 hari kepada tujuh hari untuk pengembara dari negara berisiko rendah termasuk Malaysia, Macau, China, Vietnam, Taiwan dan Australia (kecuali Victoria).

Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong, berkata walaupun tempoh kuarantin dikurangkan, individu terbabit masih perlu mematuhi penjarakan sosial bagi melindungi diri sendiri dan orang lain.

"Warga Singapura dan penduduk tetap republik ini yang kembali dari Australia (kecuali Victoria), Macau, China, Taiwan, Vietnam dan Malaysia boleh melakukan kuarantin kendiri tujuh hari di kediaman sendiri.

"Pemegang pas jangka panjang juga boleh berbuat demikian sekiranya hanya mereka dan keluarga saja menghuni premis kuarantin, atau melakukan kuarantin di tempat lebih sesuai seperti bilik hotel.

"Kesemua individu terbabit akaun diuji bagi COVID-19 sebelum menamatkan kuarantin," katanya yang juga anggota badan bertindak COVID-19 merangkumi pelbagai kementerian.

Pada masa sama, pengembara yang berada di Brunei dan New Zealand selama 14 hari berturut-turut sebelum memasuki Singapura tidak perlu menjalani kuarantin atau notis duduk di rumah (SHN) selama 14 hari.

Sebaliknya, mereka perlu menjalani ujian COVID-19 sebaik tiba dan bebas memasuki Singapura jika disahkan negatif.

Mereka juga perlu memohon Pas Perjalanan Udara yang akan dibuka pada 1 September ini, dalam tempoh antara tujuh hingga 30 hari sebelum dijadualkan tiba di Singapura.

Menteri Pengangkutan, Ong Ye Kung, berkata ia adalah sebahagian usaha untuk membuka semula hab penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik virus itu.

"Kita mahu mencapai keseimbangan antara mengawal penularan wabak ini dan menghidupkan semula perjalanan udara yang menjadi pemacu utama ekonomi bergantung kepada perdagangan serta pelancongan.

"Ini adalah langkah berhati-hati yang kecil untuk menghidupkan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, kita perlu buka sempadan dan berhubungan dengan dunia untuk berkembang maju," katanya.

Mac lalu, Singapura menutup sempadan mereka kepada pelancong dan pelawat jangka masa pendek sebelum melaksanakan langkah pemutus rantaian untuk membendung wabak itu. - AGENSI



Sumber : Singapura kurangkan kuarantin daripada 14 hari ke 7 hari

Post a Comment

0 Comments