KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang memohon maaf susulan membalas ciapan netizen yang mempersenda peristiwa korban Nabi Ibrahim AS di media sosial, semalam.
Syahredzan Johan sebelum itu dikecam teruk gara-gara membalas ciapan netizen, Afif Koni yang menciap: “Hari ini aku dan anak aku nak cosplay jadi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.”
Beliau yang juga seorang peguam kemudian turut membalas dengan ciapan: “Aku nak RT (retwit) tapi nanti hang kena kecam pula hahah.”
Ciapan beliau dan Afif kemudian dikecam teruk oleh netizen kerana dikatakan mempersendakan agama Islam, peristiwa korban serta Nabi Ibrahim dan anaknda baginda, Nabi Ismail.
Menyedari kesilapan beliau, anak kepada tokoh wartawan negara itu tampil memohon maaf dan mengaku niatnya hanya untuk bergurau dengan Afif.
“Kita kadang kala membuat kesilapan. Melampaui batas tutur kata yang sepatutnya, sebagai contoh.
“Walau apapun alasan kita, kita harus tetap menadah tangan untuk memohon kemaafan dan perlindungan-Nya,” katanya menerusi twitternya.
Beberapa netizen turut mengaitkan ciapan Syahredzan itu bagi menggambarkan pemikiran pendukung DAP.
Antara yang mengulas ciapan Afif dan Syahredzan termasuk aktivis masyarakat yang juga Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath.
“Saya bukan orang alim, tapi tak adalah sampai hina nabi orang Islam dan Kristian.
“Hal agama jangan dibuat main. Hatta agama Hindu, Buddha, Sikh sekali pun, jangan sesekali dihina,” kata Khalid dalam twitternya.
Seorang netizen, Mohamed Khalid Nordin pula berkata: “Asal DAP je silap. Asal DAP tongue slip. Asal DAP buat masalah je kena maafkan dan move on.
“Sudah-sudahlah DAP buat-buat silap bodoh macam ni. Sampai bila nak biarkan?”
Bagaimanapun Syahredzan berkata, hal itu adalah kesilapan peribadinya dan tiada kaitan dengan parti yang diwakilinya. – Edisi 9
via Wowberita
0 Comments