JOHOR BAHRU: Polis menahan 34 individu termasuk 14 wanita dalam beberapa serbuan dijalankan di pusat hiburan sekitar negeri ini, semalam dan awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya, berkata dalam serbuan di sebuah pusat hiburan sekitar Johor Bahru, seramai 152 individu diperiksa.
"Hasil saringan awal air kencing mendapati tiga individu berusia 23 hingga 36 tahun positif dadah jenis ketamin dan seorang lagi positif dadah Tetra Hydrocannibol (THC).
"Seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai pengurus premis gagal mematuhi syarat lesen perniagaan kerana menjual dan menghidang minuman keras, selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Afzanizam berkata, dalam operasi berasingan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Seri Alam dan Kulai membuat tiga serbuan berasingan di pusat hiburan sekitar Johor Bahru, Ulu Tiram serta Kulai, kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.
Katanya, hasil serbuan itu, polis memeriksa 143 individu yang sedang berhibur di dalam premis berkenaan.
"Hasil saringan awal air kencing mendapati 31 individu berusia 17 hingga 56 tahun positif dadah masing-masing 18 positif dadah jenis ketamin, 12 positif dadah jenis methamphetamine dan seorang lagi positif benzo.
"Hasil keseluruhan pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan, seramai 264 individu dikenakan kompaun RM1,000 seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis terbabit.
"Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 manakala suspek positif dadah direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sumber : 34 ditahan positif dadah, 264 dikompaun RM1,000
0 Comments