'Tidak mahu lagi jadi hamba dadah'

KOTA BHARU: "Sudah enam kali saya keluar masuk penjara disebabkan dadah dan kali ini selepas dibebaskan, saya berjanji pada diri sendiri untuk berubah dan tidak akan menjejakkan kaki ke sini lagi," kata Abe Man, 30 (bukan nama sebenar).

Menurutnya, disebabkan terlalu mengikutkan hati selain pengaruh rakan dan perasaan ingin mencuba, dia mula terbabit dengan aktiviti penagihan dadah seawal usia 15 tahun, sekali gus mensia-siakan peluang untuk membina hidup yang sempurna.

Katanya, dia ditangkap buat kali keenam pada 2017 selepas pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa menemui dadah di dalam pakaiannya dan melalui ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah.

"Sebelum ini, saya menjadi penagih dadah tegar dan masih belum serik untuk mengambilnya, tetapi sepanjang berada di dalam penjara saya mampu mengawal keinginan untuk mengambil dadah walaupun ada ketikanya agak sukar untuk mengatasi rasa ketagih.

"Berdasarkan pengalaman sendiri, apabila sudah terjebak dengan dadah, ia memang sukar untuk pulih, namun saya tidak putus berdoa moga Allah SWT mempermudahkan langkah saya untuk benar-benar pulih daripada dadah selepas dibebaskan nanti," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Masih Ada Yang Sayang yang dirasmikan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary di Masjid Penghuni Penjara Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob.

Anak sulung daripada 11 beradik itu berkata, pendidikan agama yang dipelajarinya di dalam penjara menjadi kunci perubahan supaya tidak lagi terjebak dengan najis dadah.

"Selain itu, penjara juga mendekatkan diri saya kepada Allah SWT serta pegangan al-Quran yang diamalkan setiap waktu membolehkan saya membersihkan diri daripada menjadi hamba dadah.

"Jika boleh, saya ingin melupakan semua perkara yang berlaku sebelum ini dan mahu memulakan hidup dengan semangat yang baharu.

"Saya juga ingin menasihatkan kepada generasi muda supaya tidak terpengaruh dengan dadah kerana ia boleh merosakkan badan dan akal fikiran.

"Dadah juga boleh menyebabkan seseorang itu hilang kawalan dan bertindak di luar batasan," katanya yang berasal dari Pasir Mas.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Abe Jo, 41, (bukan nama sebenar) berkata, disebabkan ingin mengejar kemewahan mendorong dia dan isterinya terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

"Pada tahun lalu, saya dan isteri ditangkap oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan kami menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa selama dua tahun dan saya dikenakan tiga sebatan.

"Di sebalik tirai besi ini, saya banyak belajar untuk mengenal Tuhan yang satu, jiwa juga berasa lebih tenang apabila setiap hari mengerjakan solat lima waktu dan sepanjang lebih setahun menjalani hukuman penjara, saya juga sudah 30 kali khatam al-Quran.

"Penjara menjadi tempat yang paling tenang untuk saya kerana berasa lebih terkawal daripada melakukan perkara yang mendatangkan mudarat kepada diri selain diberi ajaran agama untuk lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta," katanya.



Sumber : 'Tidak mahu lagi jadi hamba dadah'

Post a Comment

0 Comments