56 sertai pesta persendirian ditahan ingkar PKP

PUTRAJAYA: Seramai 56 individu yang menyertai pesta persendirian antara 512 individu yang ditahan pihak berkuasa semalam selepas didapati melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 294 individu lain ditahan kerana terbabit dengan aktiviti di dalam pub dan kelab malam.

Beliau berkata, turut ditahan seramai 103 individu yang terbabit dalam aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Katanya, seramai 32 individu ditahan kerana gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk; 14 individu tidak memakai pelitup muka; lapan kerana premis beroperasi melebihi tempoh; empat orang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran dan seorang kerana gagal mematuhi arahan kuarantin PKPD.

"Semalam, PDRM menahan 512 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

"Daripada jumlah itu, seramai 452 individu dikompaun manakala 59 individu direman dan seorang lagi dijamin.

"Sebanyak 2,663 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan seramai 11,825 anggota membuat pemantauan di 3,989 pasar raya, 5,405 restoran serta 1,331 penjaja, 1,146 kilang, 3,860 bank dan 663 pejabat kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, turut dipantau semalam sebanyak 1,146 terminal pengangkutan darat, 211 terminal pengangkutan air serta 108 terminal pengangkutan udara.



Sumber : 56 sertai pesta persendirian ditahan ingkar PKP

Post a Comment

0 Comments