ADUN Lunas, Sidam sertai BERSATU

ALOR SETAR: Dua wakil rakyat Bebas di negeri ini, Azman Nasrudin dan Dr Robert Ling Kui Ee mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam tadi.

Azman adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas manakala Robert adalah ADUN Sidam yang juga EXCO kerajaan negeri.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara (PKN) malam tadi yang turut dihadiri oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang menyertai BERSATU pada 22 Ogos lalu.

Sebelum ini, Azman dan Robert mengumumkan keluar daripada PKR serta menjadi wakil rakyat Bebas dengan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada 12 Mei lalu.

Azman berkata, pihaknya menjangkakan hampir 10,000 ahli PKN di negeri ini akan mengikut jejak langkahnya menyertai BERSATU.

"Malam ini kita menghantar borang untuk keahlian BERSATU daripada pengerusi PKN di setiap kawasan parlimen di negeri ini dahulu, di peringkat akar umbi kita akan susun kemudian," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Azman turut menjelaskan penyertaan akar umbi PKN dalam BERSATU tidak lama lagi akan turut membabitkan kaum lain iaitu India, Cina dan Siam.

Katanya, ia berikutan pengumuman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan mewujudkan sayap baharu bagi membolehkan ahli bersekutu daripada golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera, dapat bersama-sama memegang jawatan dan menyumbang idea.



Sumber : ADUN Lunas, Sidam sertai BERSATU

Post a Comment

0 Comments