Aisha lambang cinta Fasha, Aidil

KUALA LUMPUR: Singkatan 'Ai' merujuk kepada nama suami, Aidil Aziz dan 'Sha' suku kata pertama daripada nama sendiri, Fasha Sandha menjadi bukti kasih sayang antara pasangan selebriti yang menyambut kelahiran puteri comel diberi nama, Aisha Amaira, awal bulan lalu.

Berkongsi perkara itu, Fasha berkata, Aisha yang membawa maksud bahagia dan cantik selamanya, menjadi lebih bermakna apabila nama itu menggabungkan nama dirinya dan suami.

"Alhamdulillah, saya dan suami diberi kemanisan selepas diuji. Jika diikutkan, Aisha adalah anak kelima saya.

"Sebelum melahirkan Aisha, saya pernah dua kali keguguran. Dua anak kami sudah berada di syurga... Insya-Allah.

Puteri kesayangan Fasha dan Aidil, Aisha dilahirkan pada 8 Ogos lalu secara pembedahan. Foto Ihsan Fasha Sandha
Puteri kesayangan Fasha dan Aidil, Aisha dilahirkan pada 8 Ogos lalu secara pembedahan. Foto Ihsan Fasha Sandha

Berkat usaha dan doa, rezeki akhirnya menyebelahi saya," katanya kepada BH Online.

Sebelum itu, melalui perkahwinan pertama, Fasha dikurniakan sepasang cahaya mata, Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemyma.

Aisha dilahirkan secara pembedahan pada 7 Ogos lalu.

Keseronokan menimang cahaya mata jelas terpancar pada wajah pelakon drama Lara Aishah itu.

"Menjadi ibu kepada tiga cahaya mata cukup istimewa. Rayfal yang berusia tujuh tahun, lebih 'steady'. Jemyma pula ada masanya, cemburu jika perhatian lebih diberikan kepada Aisha.

"Jika adik dipuji atau dipanggil sayang, dia pun mah menagih perkara sama. Namun, ada masanya, mereka faham sudah memiliki adik dan kena beralah," katanya.

Buat sementara waktu, Fasha mahu memberi tumpuan untuk membesarkan Aisha.

"Saya belum fikirkan soal masa depan termasuk tawaran berlakon. Saya mahu menikmati momen depan mata ini dengan tenang. Saya beruntung suami terus erat di di sisi memikul tanggungjawab ini bersama.

"Sebenarnya, sudah ada dua tawaran drama diterima. Namun, saya belum bersedia. Mungkin selepas Oktober, baru saya akan menimbangkannya," katanya.

Fasha berkata, dia mahu memberi tumpuan kepada komitmen sebagai duta produk dan kempen.

"Komitmen seperti itu tidak mengambil masa panjang dan Aisha masih kecil," katanya.

Fasha, 36, dan Aidil, 34, bernikah pada 30 Mac 2019.



Sumber : Aisha lambang cinta Fasha, Aidil

Post a Comment

0 Comments