Pengarah jabatan kerajaan bersama anak, menantu direman SPRM

PUTRAJAYA: Seorang pengarah bahagian sebuah jabatan kerajaan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes menerima suapan bagi  mempercepatkan  siasatan dan rayuan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan.

Turut ditahan reman bersama pengarah terbabit adalah anak perempuan serta menantunya.

Perintah reman bermula hari ini hingga 18 September itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, selepas meluluskan permohonan dikemukakan kepadanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia di antara 32 hingga 59 tahun itu ditahan antara jam 11.50 pagi hingga 12.10 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Katanya, suspek disyaki meminta dan menerima suapan di antara RM500 sehingga RM2,000 daripada pemilik-pemilik bot nelayan tempatan dan wang itu yang didepositkan ke dalam akaun anak perempuannya itu.

Suapan itu adalah sebagai balasan mempercepatkan tindakan siasatan serta rayuan bagi mengurangkan kompaun terhadap pemilik bot nelayan yang dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 ketika mahu mendapatkan kembali bot mereka yang ditahan. 

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyita wang tunai dianggarkan lebih RM21,000, barangan kemas dan jam tangan mewah," katanya.

Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh, ketika mengesahkan tangkapan dan tahanan reman itu, berkata tiga suspek itu berdepan siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.



Sumber : Pengarah jabatan kerajaan bersama anak, menantu direman SPRM

Post a Comment

0 Comments