Arab Saudi tangguh forum pelaburan 'Davos di gurun'

RIYADH: Penganjur forum pelaburan tahunan gaya Davos, semalam mengesahkan bahawa Arab Saudi menangguhkan acara itu ke Januari tahun hadapan susulan COVID-19 di mana pandemik itu dilihat menjejaskan pergerakan di peringkat global.

Acara di bawah Inisiatif Pelaburan Masa Depan (FII) itu yang pada mulanya dijadual diadakan pada Oktober ini ditangguhkan ke 26 hingga 28 Januari depan bagi mempromosikan Arab Saudi sebagai destinasi pelaburan dinamik.

"Selepas melakukan pertimbangan dan penilaian yang teliti berhubung situasi semasa membabitkan perjalanan dan penerbangan global, selain peraturan dikuatkuasakan oleh sebilangan besar negara, kami memutuskan untuk menangguhkan edisi keempat FII, " kata penganjur.

Sidang kemuncak itu yang mendapat jolokan 'Davos di gurun' dilancarkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, pada 2017 bagi memikat pelabur asing dan mempromosikan visi 2030 membabitkan kepelbagaian pelan untuk mengeluarkan ekonomi kerajaan itu dari kebergantungan terhadap petroleum.

Namun, pada tahun berikutnya, kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi oleh ejen Arab Saudi di Istanbul menyebabkan ramai pemimpin politik dan perniagaan mengambil tindakan menarik diri daripada persidangan gilang gemilang itu pada saat akhir.

Pembunuhan yang berlaku di konsulat Arab Saudi di Istanbul itu mencetuskan salah satu krisis diplomatik terburuk membabitkan eksport minyak mentah.

Persidangan itu bagaimanapun 'dihidupkan' kembali tahun lalu apabila kemarahan dunia terhadap kes pembunuhan itu kembali reda.

Ribuan delegasi termasuk pemimpin dunia, ketua Wall Street dan pembuat dasar daripada puluhan negara memenuhi Hotel Ritz-Carlton Riyadh.

Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Brazil Jair Bolsonaro, di mana negara itu adalah kemunculan pasaran baharu adalah antara penceramah utama pada acara berkenaan tahun lalu. - AFP



Sumber : Arab Saudi tangguh forum pelaburan 'Davos di gurun'

Post a Comment

0 Comments