
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) yang hanya menerima sokongan Israel, semalam, membuat undi bantahan terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penyelarasan maklum balas menyeluruh terhadap pandemik COVID-19.
Teks resolusi itu turut mengiktiraf peranan kepimpinan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tindakan itu yang sudah dirundingkan sejak Mei lalu, diterima oleh majoriti 169 daripada 193 negara, manakala Ukraine dan Hungary mengambil tindakan berkecuali.
Teks itu yang dipanggil sebagai resolusi omnibus merangkumi pelbagai aspek pandemik itu termasuk mengiktiraf kepimpinan WHO dan peranan penting sistem AS dalam memangkin dan menyelaras maklum balas menyeluruh terhadap pandemik COVID-19 secara global.
AS bagaimanapun mengambil tindakan menarik diri dari WHO musim bunga ini, dengan menuduh badan itu melakukan kesilapan dalam mengurus pandemik COVID-19, selain melambatkan amaran global.
Resolusi itu turut meminta diperhebatkan kerjasama dan solidariti antarabangsa untuk membendung, mengurangi dan mengatasi pandemik ini dan akibatnya.
Ia turut menyokong saranan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, pada Mac lalu supaya dilaksanakan gencatan senjata antara negara terbabit bagi memudahkan lagi usaha memerangi COVID-19, iaitu sebuah permintaan yang hanya disambut sebahagian kecil negara sahaja.
Selain itu, resolusi berkenaan juga menuntut penghapusan segera terhadap rintangan bersifat zalim termasuk sekatan untuk mewujudkan akses lebih baik terhadap produk yang digunakan bagi memerangi virus.
Ia turut meminta negara untuk mengekalkan rantaian bekalan makanan dan pertanian serta mendorong strategi pemulihan ekonomi yang diselaraskan untuk mempromposikan pembangunan mampan selain menangani perubahan iklim.
Menjelang hari pengundian, AS gagal dalam usahanya untuk menghapuskan perenggan mengenai perlindungan kepada wanita dalam bidang kesihatan reproduktif dan seksual, khususnya membabitkan tentangan mengenai pengguguran.
Libya dan Iraq juga mengundi keluar perenggan itu, namun lebih 120 negara bersetuju terhadap subjek berkenaan, manakala 25 negara lagi bertindak mengecualikan diri. - AFP
Sumber : AS tolak resolusi maklum balas COVID-19
0 Comments