
NAYPYIDAW: China akan memberi keutamaan kepada negara di Asia Tenggara (ASEAN) dalam pengedaran vaksin COVID-19 selain negara mereka sendiri.
Menurut laporan Myanmar Times, kenyataan itu dikeluarkan Ahli Majlis Negara China dan Menteri Luar, Wang Yi.
Dalam kenyataan dikeluarkan Kedutaan China di Myanmar, Wang berkata, China akan memberikan keutamaan kepada negara ASEAN selepas mereka dilihat menjaga kebajikan rakyat sendiri.
Bercakap melalui persidangan video Menteri Luar China-ASEAN pada Rabu lalu, Wang berkata, China merancang untuk mempromosikan kerjasama dalam perkongsian maklumat, penyelidikan dan pembentukan jaringan penjagaan kesihatan awam dan penghasilan vaksin antara negara itu dan ASEAN.
"Lebih banyak sokongan akan diberikan kepada Dana Penghapusan Pandemik ASEAN. Pembinaan gudang akan dibuat bagi menyimpan bekalan perubatan kecemasan sebagai sebahagian Mekanisma Komunikasi Penjagaan Kesihatan Awam Kecemasan China-ASEAN.
"Projek Penghasilan Laluan Sutera Penjagaan Kesihatan Pintar akan dilaksanakan dan rundingan akan dibuat bagi menjalin lebih platform kerjasama," katanya.
Sebelum ini, Ahli Biro Politik China, Yang Jiechi, yang melawat Myanmar awal bulan ini, memberi jaminan bahawa China akan memberi keutamaan kepada Myanmar apabila vaksin itu berjaya dihasilkan.
Yang berkata demikian dalam mesyuarat bersama pemimpin Myanmar ketika topik berhubung COVID-19 dibangkitkan. - AGENSI
Sumber : Negara ASEAN diberi keutamaan dalam pengedaran vaksin
0 Comments