COVID-19: 58 kes hari ini

KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 kembali kepada dua angka, iaitu sebanyak 58 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Jumlah itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 9,868 kes dengan jumlah kebolehjangkitan 551.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 58 kes itu, lima daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu membabitkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

"Lima kes import itu membabitkan tiga warganegara dan dua lagi warga asing yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Tiga rakyat tempatan masing-masing di Kuala Lumpur dan Selangor mendapat jangkitan di Pakistan, India dan Indonesia, sementara bukan warga negara membabitkan warga Syria di Selangor dari Syria, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina di Sabah yang juga dari Kluster Laut," katanya dalam kenyataan media, hari ini

Dr Noor Hisham berkata, daripada 53 kes tempatan, 29 daripadanya adalah warganegara manakala 24 adalah bukan warga negara.

"Daripada jumlah itu 48 kes membabitkan jangkitan di Sabah, iaitu 44 kes dari kluster Benteng Lahad Datu (LD) dengan 21 kes bukan warganegara, sementara tiga jangkitan baharu dari Kluster Laut yang kesemuanya bukan warganegara.

"Satu lagi adalah kes saringan sebelum pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu" katanya.

Kenyataan itu berkata, sebanyak lapan kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 9,189 kes atau 93.1 peratus,

"Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes atau 1.30 peratus," katanya.



Sumber : COVID-19: 58 kes hari ini

Post a Comment

0 Comments