Azizulhasni, Bonnie atlet terbaik 2019

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin masing-masing dinobat pemenang Anugerah Atlet Terbaik serta Atlet Para Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)–100PLUS 2019, hari ini.

Ini adalah kali ketiga Azizulhasni dinobatkan sebagai pemenang anugerah berkenaan selepas turut memenanginya pada 2009 dan 2017.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SAM kerana memilih saya sebagai pemenang pada tahun ini.

"Sudah tentu saya akan jadikan anugerah ini sebagai sumber motivasi bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun hadapan.

Keadaan sungguh mencabar, namun saya tidak akan berputus asa dan menguatkan semangat perjuangan demi merealisasikan impian pingat emas pertama untuk rakyat Malaysia," kata Azizulhasni menerusi rakaman video di Melbourne, Australia.

Atlet dari Dungun, Terengganu yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu nyata cemerlang sepanjang musim 2019 apabila muncul juara acara pecut Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan pada Oktober sebelum mendominasi saingan keirin Kejohanan Siri Dunia di Cambridge dua bulan kemudian.

Di Cambridge, dia menewaskan bekas juara dunia, Shane Perkins dan Matthew Glaetzer.

Azizulhasni mengatasi empat lagi calon - Farah Ann Abd Hadi (gimnastik), S Kisona (badminton), atlet luncur ais Julian Yee dan Loh Choon How dalam acara wushu.

Sementara itu, Bonnie memecah dominasi olahraga apabila dipilih menerima Anugerah Atlet Para Terbaik 2019.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada SAM di atas anugerah ini. Saya tidak menjangkakan akan dipilih menerima anugerah ini walaupun pencapaian pesaing pesaing yang lain juga tidak kurang hebatnya.

"Anugerah ini akan menjadi suntikan semangat untuk saya dan rakan untuk terus menaikkan sukan para negara di peringkat antarabangsa," kata Bonnie yg kini berada di Sarawak melalui rakaman video.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun itu mengatasi tiga lagi pencabar yang disenarai pendek; S Suresh dan Wiro Julin daripada sukan memanah serta Muhd Ziyad Zolkefli daripada sukan olahraga.

Bonnie mencipta sejarah di bumi Kazakhstan apabila meraih dua pingat emas di Kejohanan Dunia di Nur-Sultan.

Azizulhasni dan Bonnie Bunyau masing-masing membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.



Sumber : Azizulhasni, Bonnie atlet terbaik 2019

Post a Comment

0 Comments