Azlan Shah akur pembatalan ARRC

KUALA LUMPUR: Pembatalan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bagi musim 2020 disebabkan COVID-19, diterima baik juara bertahan kelas ASB1000cc, Azlan Shah Kamaruzaman yang dalam masa sama mengharapkan kekangan situasi dihadapi di seluruh dunia ketika ini dapat pulih sepenuhnya pada tahun depan.

"Buat masa sekarang... apa yang berlaku, saya terima," kata pelumba pasukan ONEXOX BMW TKKR SAG Team itu. "Kalau diikutkan hati, memang nak berlumba. Namun kita fikir yang venue adalah di negara Asia dan kebanyakan negara itu mempunyai risiko tinggi."

Rabu lalu, pihak promoter kejuaraan Two Wheels Motor Racing (TWMR) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) mengumumkan pembatalan ARRC bagi musim 2020 susulan sekatan sempadan yang lebih ketat dikenakan oleh kebanyakan negara di Asia.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah, saingan musim terpaksa dibatalkan selepas 25 tahun penganjuran.

"Bagi saya, ini adalah sesuatu yang elok dan terbaik buat masa sekarang ini kerana kita tak mahu merisikokan pelumba, mekanik, kru dalam pasukan daripada bahaya COVID-19. Jadi, saya harap situasi ini cepat berlalu.

"Saya harap situasi yang dihadapi dapat diselesaikan pada tahun ini dan tahun depan kita mampu memulakan semula saingan dengan selamat," kata Azlan yang sebelum ini pernah memenangi kelas SuperSports 600cc pada 2013 dan 2017.

Musim ARRC 2020 sempat berlangsung pada 7 dan 8 Mac lalu dengan Pusingan 1 ketika itu berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebelum kalendar saingan terpaksa ditunda ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Begitupun, minggu ini pihak penganjur terpaksa berlapang dada dengan memutuskan saingan bagi musim 2020 dibatalkan dan secara automatik tiada juara bagi setiap kelas dipertandingkan dinobatkan untuk tahun ini.

"Kami sudah memikirkan pelbagai cara bagi membolehkan semua pihak untuk setidak-tidaknya menyertai beberapa lagi pusingan musim sebagai usaha memenuhi syarat minimum untuk mengisytiharkan juara 2020.

"Begitupun, dengan tiada prospek pembatalan daripada sudut sekatan sempadan, kami tidak mempunyai pilihan selain membatalkan musim 2020.

"Kami memohon maaf kepada seluruh peminat ARRC yang sentiasa menantikan permulaan baharu bagi siri kali ini. Kami juga memohon maaf kepada rakan kongsi yang terbabit, terutama penaja kami dan juga rakan litar.

"Kami berterima kasih kepada mereka atas kerjasama dan juga kesefahaman ini. Begitupun apa yang pasti, Two Wheels Motor Racing sedang merancang musim yang lebih hebat pada 2021," kata Pengarah TWMR, Ron Hogg dalam satu kenyataan sebelum ini.



Sumber : Azlan Shah akur pembatalan ARRC

Post a Comment

0 Comments