PRN Sabah: BN, PN, rakan sekutu capai konsensus tidak bertembung

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya secara konsensus bersetuju mengelak pertembungan calon sekurang-kurangnya dalam 11 kerusi, kurang 24 jam sebelum medan perjuangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula dengan proses penamaan esok.

Pertembungan calon berjaya diselesaikan apabila pemimpin PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

"Kami mencapai konsensus untuk mengelakkan pertembungan itu," kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadiri pertemuan itu.

Media melaporkan 11 kawasan yang mungkin menyaksikan pertembungan sesama PN dan parti sekutu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka, Telupid, Matunggong, Kadamaian, Tandek, Tulid, Sook, Kapayan, Karamunting, Paginatan dan Tanjung Aru.

Sementara itu, berdasarkan kepada pengumuman parti politik yang akan bertanding pada PRN Sabah setakat ini, dijangka tidak akan berlaku pertandingan satu lawan satu kali ini.

Sebaliknya akan berlaku pertandingan banyak penjuru termasuk mungkin sehingga lapan penjuru di kebanyakan kerusi.

Parti Warisan Sabah (WARISAN) Plus, Parti Cinta Sabah (PCS), BN, PN serta rakan sekutunya PBS masing-masing sudah mengumumkan untuk bertanding di kesemua 73 kerusi DUN.

Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang diasaskan pejuang kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang kini diterajui bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dijangka bertanding sekurang-kurangnya 44 kerusi pada PRN Sabah.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) Stephen Jacob pula mengesahkan partinya akan bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi manakala Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) akan bertanding empat kerusi.

Ini tidak termasuk Parti Liberal Demokratik (LDP) yang hanya mahu membuat pengumuman calonnya esok ketika proses penamaan calon. - BERNAMA





Sumber : PRN Sabah: BN, PN, rakan sekutu capai konsensus tidak bertembung

Post a Comment

0 Comments