Chelsea 'tiru' Liverpool - Lampard

LONDON: Frank Lampard mengingatkan Jurgen Klopp bahawa Chelsea sekadar 'meniru' apa yang pernah dilakukan Liverpool apabila berbelanja besar untuk mendapatkan pemain.

Aksi kedua-dua pasukan itu hanya akan berlangsung hujung minggu ini, namun Klopp sudahpun 'menyerang' Lampard selepas The Blues berbelanja lebih 200 juta pound (RM1.06 billion) pada jendela perpindahan musim panas ini.

Klopp yang hanya berbelanja 11.75 juta pound (RM62.8 juta) menerusi pembelian Kostas Tsimikas bagi musim ini berkata 'kita berada dalam dunia yang penuh ketidakpastian.

"Untuk sebahagian pasukan, mungkin ia tidak penting mengenai situasi ini - pasukan yang dimiliki negara atau oligarki, inilah kebenarannya.

"Kami pasukan yang berbeza kerana kami ke final Liga Juara-Juara dua tahun lalu, memenanginya tahun lalu dan menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan cara kami yang tersendiri. Kita tidak boleh mengubahnya dan berkata 'sekarang kita perlu mengikut Chelsea kerana mereka menandatangani ramai pemain.'

Lampard tampil memberi penjelasan secara diplomatik yang penuh efektif tanpa sebarang kenyataan yang tidak wajar.

"Realitinya, selain daripada Leicester - kebanyakan pasukan yang memenangi liga akan membawa masuk pemain yang baik dan berbelanja pada nilai yang dirasakan berbaloi.

"Sama seperti Liverpool yang mendapatkan Van Dijk, Alisson, Fabinho, Keita, Mane, Salah. Mereka pemain hebat yang datang pada harga yang begitu tinggi. Liverpool pun pernah melakukan perkara sama.

"Apa yang kami lakukan adalah bebas daripada penggantungan dan mencari jalan untuk membantu pasukan kami. Kami tahu Liverpool pun pernah berbelanja besar.

"Kami tahu mereka ada jurulatih yang hebat. Mereka bijak kerana percaya pada jurulatih dan sistem mereka selama ini.

"Ia perkara yang hebat tetapi mereka pun sebenarnya berbelanja besar juga untuk mendapatkan pemain," kata Lampard. -Agensi



Sumber : Chelsea 'tiru' Liverpool - Lampard

Post a Comment

0 Comments