COVID-19 jejas misi Pearly-Thinaah

KUALA LUMPUR: Beregu wanita muda, Pearly Tan-M Thinaah mengakui pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap perancangan mereka dalam usaha mengorak langkah bergelar pasangan nombor satu negara.

Thinaah berkata, mereka meletakkan sasaran khusus untuk dicapai tahun ini namun gagal dicapai selepas semua kejohanan ditangguhkan susulan pandemik yang melanda seluruh dunia itu.

"Sejak COVID-19 melanda dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, ia merosakkan perancangan kami.

"Kami harap kami boleh kekalkan sasaran kami untuk saingan tahun depan. Apa yang kami boleh buat sekarang memberikan yang terbaik dalam sesi latihan bagi persiapan menghadapi kejohanan seterusnya," kata Thinaah.

Pearly-Thinaah yang kini menghuni ranking ke-39 dunia dilihat sebagai pasangan yang mempunyai potensi bagi mengambil alih status beregu wanita nombor satu negara daripada Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang kini semakin berusia.

Kedua-dua pemain berusia 20 dan 22 tahun itu sudah merekodkan tiga gelaran antarabangsa tahun lalu menerusi kejuaraan Siri Antarabangsa Malaysia selain Cabaran Antarabangsa Bangladesh dan India.

Terdahulu, Pearly-Thinaah menyumbangkan mata bagi membantu Pasukan A menewaskan Pasukan B 3-2 dalam aksi Piala Presiden di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Pasangan itu cemerlang apabila menewaskan Toh Ee Wei-Yap Ling 21-17, 21-15.

Dua lagi mata Pasukan A hadir menerusi kemenangan Soniia Cheah ke atas S Kisona 21-14, 25-23 dan Goh Jin Wei yang menundukkan Eoon Xi Quan 21-12, 21-9.

Dua mata Pasukan B pula diraih menerusi kemenangan Mei Kuan-Meng Yean ke atas Vivian Hoo-Yap Cheng Wen 21-10, 21-14 dan Lee Ying Ying yang menewaskan K Letshanaa 21-17, 21-7.

Saingan Piala Presiden yang sepatutnya menjadi persiapan skuad lelaki dan wanita bagi menghadapi Piala Thomas/Uber 2020 tetap diteruskan biarpun kejohanan berpasukan yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober ini ditunda.



Sumber : COVID-19 jejas misi Pearly-Thinaah

Post a Comment

0 Comments