COVID-19: Tiba di Sarawak dari luar negara perlu kuarantin wajib

PUTRAJAYA: Semua ketibaan dari luar negara di pintu masuk Sarawak, perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat yang ditetapkan kerajaan negeri itu, bermula semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata individu terbabit juga perlu menjalani ujian calitan COVID-19 pada hari kedua dan ke-10.

"Kos kuarantin bagi rakyat Sarawak akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri itu. Bagi bukan rakyat Sarawak pula, kos kuarantin adalah atas tanggungan sendiri.

"Bagi ketibaan dalam negeri di pintu masuk Sarawak, warga Malaysia dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

"Bagaimanapun, mereka perlu mengisi borang deklarasi kesihatan secara dalam talian (e-HDF) terlebih dahulu. Borang itu boleh dilayari dalam laman sesawang https://ift.tt/31Q6VD5" katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis bekalan barangan di 711 premis perniagaan membabitkan peruncit (503), pemborong (180) dan pengilang (28).

"Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan serta mudah diperoleh.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,614 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Hasil pemeriksaan mendapati 1,593 premis mematuhi SOP ditetapkan, manakala 21 lagi diberi nasihat kerana tidak patuh," katanya.



Sumber : COVID-19: Tiba di Sarawak dari luar negara perlu kuarantin wajib

Post a Comment

0 Comments