Sidang kemuncak PBB bincang tadbir urus global pasca COVID-19

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menganjurkan sidang video pada 24 September ini antara ketua-ketua negara bagi membincangkan tadbir urus masa depan global berikutan pandemik COVID-19.

Niger, selaku Presiden Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sesi kali ini, berkata perbahasan 'tadbir urus pasca COVID-19' itu berkait rapat dengan pengekalan keamanan dan kesejahteraan antarabangsa.

Duta Niger ke PBB, Abdou Abarry, memaklumkan perkara itu kepada wartawan semalam ketika membentangkan program UNSC bagi bulan ini.

"Sesi ini akan diadakan ketika Perhimpunan Agung PBB yang mengumpulkan pemimpin dunia dan akan berlangsung secara sidang video berikutan ancaman wabak COVID-19.

"Ini adalah peluang bagi pemimpin kita mengadakan perbincangan politik berhubung keperluan menyesuaikan sistem antarabangsa ketika ini yang diwujudkan PBB dan UNSC berdasarkan perubahan yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

"Strategi ini penting dalam usaha berdepan ancaman tradisional kepada keselamatan dengan berkesan seperti konflik selain menangani ancaman baharu seperti jenayah terancang dan wabak," katanya.

Tambah Abarry, Presiden Niger, Mahamadou Issoufou, akan mempengerusikan sidang kemuncak berkenaan, dengan penyertaan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan pengerusi Kesatuan Afrika, Moussa Faki Mahamat.

Ditanya mengenai kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang sering membantah multilateralisme dan kerjasama dengan organisasi antarabangsa,

beliau berkata semua ketua negara akan menerima jemputan Presiden Niger. - AFP



Sumber : Sidang kemuncak PBB bincang tadbir urus global pasca COVID-19

Post a Comment

0 Comments