FA tak dapat hak penyiaran

KUALA LUMPUR: Bayaran hak penyiaran atau penajaan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan diberikan kepada kelab bola sepak (FC), bukan lagi persatuan bola sepak negeri (FA).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hanya memberikan hak penyiaran kepada pasukan yang terbabit dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Siapa yang terbabit dalam liga (akan terima hak penyiaran), sebab duit itu bukan daripada FAM, ia daripada MFL, dan MFL membayar kepada sesiapa yang menyertai liga. Jadi FC akan terima, untuk tahun depan semua FC," katanya kepada BH Sukan.

Untuk rekod, pasukan Liga Super menerima RM1 juta hak penyiaran musim ini dan wakil Liga Perdana pula mendapat RM500,000.

Selain itu, Stuart menjelaskan selepas penswastaan bermula musim depan, permohonan lesen juga perlu dibuat oleh FC, sementara FA akan memainkan peranan daripada aspek pembangunan.

Beliau berkata, FAM juga akan memainkan peranan dalam memberikan lesen kepada pasukan selain memperkasakan FC menerusi penyaluran maklumat dan sebagainya.

"Kita perlu bekerjasama dalam pembentukan industri yang lebih korporat dan profesional. Bukan sekadar proses yang FAM laksanakan, tapi kami pun tahu daripada pelaksanaan proses tahap pertama, kita juga perlu memperkasakan FC dalam tahap kedua.

"FA akan memainkan peranan lain sebab dalam industri bola sepak profesional, FA adalah pembangunan seluruh bola sepak negeri termasuk (penganjuran) liga tempatan, kejurulatihan, pembangunan belia dan pembangunan pengadil.

"Mereka sebenarnya memainkan peranan lebih besar dan lebih penting untuk memastikan kualiti yang keluar daripada sistem kita. Saya nak tegaskan FA lebih relevan dan lebih penting dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya adakah FA juga akan menerima peruntukan lain, Stuart berkata: "Itu tak tahu lagi, ia akan dibincangkan sebab menerusi penstrukturan semula, FA juga ada peranannya di peringkat domestik," tambahnya.



Sumber : FA tak dapat hak penyiaran

Post a Comment

0 Comments