
HANOI: Persaingan Amerika Syarikat (AS)-China dijangka menjadi topik utama perbincangan ketika menteri luar 10 negara ASEAN memulakan Sidang Kemuncak Menteri Luar Asean Ke-53 secara maya hari ini.
Washington dan Beijing bertelagah dalam pelbagai isu, baik perdagangan, ketenteraan, tuntutan sempadan sehinggalah ancaman pandemik COVID-19.
Difahamkan, kali ini diplomat kanan Washington sudah bersedia bagi 'menyerang tindakan membuli' Beijing di Laut Cina Selatan.
Tambahan pula, persidangan diadakan hanya beberapa hari selepas China melancarkan peluru berpandu balistik di perairan yang dipertikaikan itu ketika latihan tentera.
Persidangan menteri luar itu disertai Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi.
Ini juga persidangan pertama mereka sejak AS mengumumkan sekatan terhadap syarikat China berhubung tindakan Beijing membina pulau buatan di perairan kontroversi itu.
Beijing menuntut keseluruhan Laut Cina Selatan yang kaya sumber itu, namun ia turut dicabar Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan.
Pertikaian terbaru membabitkan China dan Filipina berhubung Terumbu Scarborough, satu daripada kawasan tumpuan utama nelayan di rantau itu, turut dijangka dibangkitkan dalam persidangan berkenaan.
Pompeo, dalam satu kenyataan menjelang persidangan itu, berkata Parti Komunis China secara jelas dan berulang kali membuli negara jirannya.
Ketegangan berhubung semenanjung Korea juga terkandung dalam agenda persidangan.
Rundingan antara Pyongyang dan Washington berhubung senjata nuklear Korea Utara tertangguh sejak kegagalan persidangan Hanoi antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden AS, Donald Trump, tahun lalu.
Pandemik COVID-19 juga akan menjadi isu utama persidangan selepas Vietnam, yang kini mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN, Jun lalu memberi amaran bahawa virus itu akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi serantau.
Selain itu, wujud kebimbangan virus itu memberi peluang kepada China untuk menggunakan taktik baharu bagi memperluaskan tuntutannya di Laut Cina Selatan.
Tindakan China menggunakan bantuan COVID-19 dan menjanjikan vaksin kepada Filipina dan Indonesia dilihat sebagai usaha untuk mematahkan sebarang momentum diplomatik untuk membincangkan isu Laut Cina Selatan. - AFP
Sumber : Ketegangan AS-China dijangka jadi isu utama sidang ASEAN
0 Comments