Kematian anggota tentera: Polis sudah rakam percakapan beberapa saksi

CHERAS: Polis sudah memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes kematian anggota tentera, Abdul Aziz Aznam yang dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman kem tentera di Batu Pahat, Johor, 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata saksi berkenaan termasuk anggota dari kem tentera sama, manakala aspek siasatan meliputi detik sebelum mangsa dipercayai terjun.

"Kita merakam percakapan mereka, termasuk untuk mengetahui sama ada mangsa dipercayai bertindak sedemikian kerana takut atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, polis sedang giat melakukan siasatan, termasuk mengenal pasti punca kematian dan sama ada wujud unsur ugutan, tekanan serta penderaan terhadap mangsa sebelum kejadian itu berlaku.

Media sebelum ini melaporkan, pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz, 20, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem di Batu Pahat.

Mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir jam 2.30 petang Ahad lalu.

Abangnya, Mohamad Amirul Naim, 22, mendakwa mangsa pernah mengadu sering menjadi mangsa buli ketika berada di kem tentera itu.

Mangsa juga mengadu kepada keluarga bahawa dirinya pernah ditumbuk dan muka digosok dengan berus besi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, pihaknya berpuas hati dengan inti pati Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020, terutama berkaitan kaedah siasatan dijalankan.

"Kertas kerja IPCC sudah dibentangkan kepada PDRM dan kami berpuas hati.

"Ia ada memperuntukkan supaya polis melaporkan sesuatu kejadian seperti kes kematian dan penganiayaan di dalam lokap.

"Undang-undang itu mewajibkan kami melaporkan perkara berkenaan kepada mereka, dan seterusnya terpulang kepada pihak terbabit untuk mengambil tindakan susulan seperti mengesyorkan agensi apa yang patut menjalankan siasatan," katanya.

Sebelum ini, RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditarik balik dan digantikan dengan RUU IPCC.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata RUU IPCMC diubah suai dengan RUU baharu kerana tidak diterima oleh sebahagian warga polis.



Sumber : Kematian anggota tentera: Polis sudah rakam percakapan beberapa saksi

Post a Comment

0 Comments