Ibu antara 3 ditahan kes budak 6 tahun meninggal dunia

SEREMBAN: Polis menahan tiga individu termasuk ibu kepada seorang budak perempuan berusia enam tahun yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar dekat sini, Sabtu lalu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, selain ibu kanak-kanak terbabit, dua lagi individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita turut ditahan susulan laporan polis yang diterima pada 5 September.

"Polis menerima laporan pada 5 September berhubung seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pihak hospital berusaha untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit namun gagal dan dia meninggal dunia.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati ada beberapa kesan kecederaan terhadap si mati dan bedah siasat yang dijalankan tidak dapat menentukan punca kematian setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata, kesemua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 walaupun setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Siasatan bertujuan untuk memastikan sekiranya ada unsur-unsur penderaan ke atas kanak-kanak terbabit," katanya.



Sumber : Ibu antara 3 ditahan kes budak 6 tahun meninggal dunia

Post a Comment

0 Comments