Polis buka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh membabitkan kitab Injil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata keterangan saksi berkaitan sedang diambil bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan susulan.

"Polis menerima laporan, kertas siasatan dibuka dan keterangan saksi sedang diambil.

"Kini, kami menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan medium yang digunakan untuk menularkan video berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Ogos lalu, beberapa ahli DAP Sarawak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berhubung kenyataannya terhadap isu kitab Injil.

Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi menerusi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Beliau kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Nik Muhammad Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil 'dipesongkan atau diubah'.



Sumber : Polis buka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh

Post a Comment

0 Comments