
COLOMBO: India hari ini menghantar bekalan baharu bahan kimia pemadam api bagi membantu memadam kebakaran baharu yang tercetus pada kapal tangki dengan muatan kargo minyak mentah di pantai timur Sri Lanka.
Kapal tangki New Diamond terbakar sejak Khamis lalu dengan api marak yang dipercayai sudah dipadamkan pada Ahad lalu, namun menyala semula disebabkan angin yang kuat semalam, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlakunya satu lagi bencana alam sekitar di Lautan Hindi.
Pasukan dan pakar penyelamat memaklumkan, tiada tanda kebocoran pada kapal yang berdaftar di Panama itu, yang membawa 270,000 tan minyak mentah dan 1,700 tan diesel sebagai bahan bakarnya.
Bagi meningkatkan usaha menyelamat, sebuah pesawat Pengawal Pantai India dijangka membawa serbuk kimia kering hari ini, yang kemudian akan dijatuhkan oleh helikopter di atas kapal berkenaan, kata tentera laut Sri Lanka.
Katanya, enam pakar penyelamat dan 11 ahli profesional pengurusan bencana diterbangkan oleh pemilik New Diamond warga Greece ke kapal berkenaan, kira-kira 55 kilometer dari perkampungan tepi pantai di Sangamankanda Point.
SMIT, sebuah syarikat penyelamat Belanda, berkata bahagian belakang kapal itu masih terlalu panas dan tidak selamat dinaiki mereka bagi tujuan pemeriksaan.
"Apabila situasi dirasakan stabil dan selamat, kita akan memeriksa kapal berkenaan," kata SMIT kepada AFP di The Hague.
Syarikat itu berkata, ada kemungkinan untuk kapal itu ditunda ke lokasi yang lebih selamat dan kargo dialihkan.
"Setakat ini, tiada tanda kebocoran. Bagaimanapun, berikutan situasi yang tidak dijangka, langkah itu mungkin berubah dan maklumat terperinci termasuk destinasi utama dan masa tidak diketahui," katanya.
Sebanyak 19 kapal dari India dan Sri Lanka terbabit memadamkan kebakaran New Diamond, yang dilaporkan bermula selepas letupan bilik enjin, yang membunuh seorang anak kapal warga Filipina, Khamis lalu.
Seramai 22 anak kapal lain berjaya diselamatkan.Kapal berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kuwait ke Pelabuhan Paradip, India. - AFP
Sumber : India hantar pemadam api padam kebakaran kapal tangki
0 Comments