CEO MSM diarah cuti, perjelas isu inventori

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) berkata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (GCEO) Datuk Khairil Anuar Aziz telah diarah bercuti sehingga notis selanjutnya daripada Lembaga Pengarah serta perlu menjelaskan isu berkaitan inventori MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd.

"Beliau telah diberi tempoh selama tujuh hari mulai hari ini bagi menjawab perkara itu," kata syarikat pengeluar gula itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut MSM, urusan perniagaannya akan diteruskan seperti biasa dan untuk tempoh sementara ini Lembaga Pengarah telah melantik Fakhrunniam Othman sebagai pegawai bagi menjalankan tugas-tugas GCEO.

Pada masa ini, Fakhrunniam ialah Pegawai Pelaburan Kumpulan FGV Holdings Bhd.

"Lembaga Pengarah juga telah menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif yang dianggotai tiga pengarah MSM - Datuk Syed Hisham Syed Wazir, Datuk Dr Abd Hapiz Abdullah dan Datuk Haris Fadzilah Hassan untuk membimbing dan membantu pegawai bertanggungjawab dalam tempoh sementara ini," kata syarikat itu.

Menurut MSM, sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara tersebut akan diumumkan kelak.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, MSM berkata ia tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat lanjut berhubung pengumuman itu dan isu membabitkan inventori MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd tidak akan memberi impak terhadap tahun kewangan semasa.

Impak kewangan itu juga telah diambil kira dalam tahun kewangan sebelum ini (TK2019).

"Kami percaya perkara ini tidak akan menjejaskan reputasi MSM kerana langkah yang telah diambil bagi memastikan kesinambungan pimpinan serta kelancaran pengurusan harian kumpulan," katanya.

Menurut syarikat itu, proses sewajarnya di peringkat dalaman akan dijalankan berserta tadbir urus dan ketelusan sepenuhnya dan sebarang perkembangan utama akan dimaklumkan oleh MSM dari semasa ke semasa.

– BERNAMA



Sumber : CEO MSM diarah cuti, perjelas isu inventori

Post a Comment

0 Comments