COVID-19: Kadar kebolehjangkitan makin meningkat

PUTRAJAYA: Nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R naught (RO) ketika ini meningkat kepada 1.72, berbanding 0.72 berbanding dua minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan kadar kebolehjangkitan itu juga melebihi 1.6 paras kritikal di negara ini.

Beliau berkata, peningkatan ketara itu sekali gus memberi gambaran risiko lebih banyak transmisi di dalam komuniti.

Katanya, masyarakat kini kemungkinan sudah alpa dan tidak mengendahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta nasihat yang diberikan oleh pihaknya mula diambil ringan termasuklah oleh petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan dan juga agensi lain.

"Petugas barisan hadapan sememangnya mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti oleh penyakit COVID-19 atau lain-lain penyakit berjangkit ketika di fasiliti kesihatan.

"Misalnya, hari ini terdapat seorang anggota kesihatan daripada Kluster Sungai yang didapati sudah menjangkiti tujuh orang ahli keluarganya.

"Mengambil iktibar daripada kejadian ini, Kementerian Kesihatan menggesa semua petugas kesihatan, petugas barisan hadapan pelbagai agensi dan juga semua lapisan masyarakat untuk mengambil serius situasi COVID-19 di dalam negara," katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengulangi nasihatnya kepada petugas kesihatan dan barisan hadapan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh agensi masing-masing.

"Bukan sahaja rakyat yang perlu patuh kepada SOP yang disarankan, namun kita sebagai petugas barisan hadapan juga boleh dijangkiti jika terus ambil mudah mengenai perkara ini.

"Perkara itu mudah (ikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan), namun sukar untuk kita amalkan. Kita (sebagai barisan hadapan) perlu jaga diri, keluarga dan masyarakat. Jika bukan kita, siapa lagi," katanya.



Sumber : COVID-19: Kadar kebolehjangkitan makin meningkat

Post a Comment

0 Comments