
BANGKOK: Rancangan Thailand untuk membuka semula pulau tropikanya, Phuket kepada pelancong asing bulan depan tergendala selepas negara itu mengakhiri rekod 100 hari tanpa kes penularan COVID-19 dalam komuniti minggu lalu.
"Kerajaan sudah bersedia, namun terdapat kebimbangan daripada beberapa pihak bahawa pembukaan semula itu akan membawa kepada jangkitan," kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, hari ini.
"Ia sudah menjangkau sembilan bulan ketika ini. Kita perlu belajar untuk memerangi dan hidup dengan wabak ini. Kita tidak boleh takut dengannya," katanya.
Rancangan pembukaan semula itu berdepan banyak penelitian selepas pihak berkuasa mengesahkan satu kes tempatan baru-baru ini membabitkan seorang tahanan lelaki 37 tahun di penjara Bangkok tanpa sejarah perjalanan ke luar negara, sejak kali terakhir kes tempatan 26 Mei lalu.
Pembukaan semula kepada pelancong menyebabkan peningkatan semula kes jangkitan di beberapa tempat seperti pulau Caribbean, Aruba dan kerajaan bimbang melakukan pertimbangan yang salah antara kesihatan awam dan membantu ekonomi.
Sektor perhotelan dan pelancongan Thailand bergantung kepada kedatangan semula pelancong antarabangsa, yang menyumbang dua pertiga daripada pendapatan pelancongan negara itu sebelum berlakunya wabak, bagi membangkitkan semula perniagaan yang merosot dan menyelamatkan berjuta-juta pekerjaan.
Kerajaan dan perniagaan sedang menilai kos antara membendung risiko jangkitan dan mengehadkan kemusnahan kepada ekonomi, yang berada pada landasan untuk mencatat penurunan 8.5 peratus tahun ini.
"Kegagalan Thailand untuk melancarkan semula pelancongan luar negara menimbulkan senario yang bahaya kepada industri perhotelan," kata Bill Barnett, pengarah urusan firma konsultan C9 Hotelworks Ltd.
"Situasi ini buruk dan kemungkinan bertambah buruk, kerana operasi hotel menanggung kerugian dari hari ke hari.
"Hampir 70 peratus hotel yang sedang dalam rancangan pembinaan kini terpaksa ditunda atau dihentikan sementara waktu, menurut data C9 Hotelworks. - AGENSI
Sumber : Pembukaan semula Phuket ditunda akibat kes COVID-19
0 Comments