
KUALA LUMPUR: Skuad badminton Indonesia mengesahkan menarik diri daripada saingan Piala Thomas/Uber 2020 yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan.
Menurut laporan Kompas yang memetik Setiausaha Agung Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Achmad Budiharto, antara faktor utama pasukan berkenaan menarik diri adalah disebabkan pemain dan pegawai bimbang dengan ancaman pandemik COVID-19 yang masih belum reda baik di Indonesia mahupun di negara lain.
"Pasukan Indonesia menarik diri daripada menyertai Piala Thomas dan Uber 2020. Kami sudah mengirim surat ke Menpora (Menteri Belia dan Sukan) dan akan segera mengirim pernyataan bertulis ke BWF (Persekutuan Badminton Dunia) mengenai hal ini.
"Keputusan ini diambil selepas perbincangan pemain dan pegawai," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, England dan Belanda untuk saingan Piala Thomas manakala skuad wanita turut bersama lawan itu dalam Kumpulan B selain Korea Selatan dan Australia bagi saingan Piala Uber.
Penarikan diri Indonesia itu pastinya memberi tamparan terbaru buat BWF selepas Taiwan, Australia dan Thailand turut membuat keputusan menarik diri.
Malah, Korea Selatan juga dilaporkan turut menarik diri daripada kejohanan berpasukan berkenaan berikutan ancaman COVID-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.
Sumber : Indonesia tarik diri Piala Thomas
0 Comments