Kaji semula penyertaan Nurul Afiqah, Azfar

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan menilai semula isu dua atlet dari Terengganu yang tidak dibenarkan menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dengan badan induk itu ketika ini sedang menantikan keputusan lanjut daripada Jawatankuasa Tertinggi temasya itu.

PABM sebelum ini memaklumkan Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dan Muhammad Azfar Kamaruddin tidak dibenarkan menyertai SUKMA dari 6 hingga 14 Mac depan biarpun sudah tamat tempoh penggantungan lapan bulan susulan gagal ujian doping di temasya di Perak, dua tahun lalu.

Menambahkan lagi kekeliruan, Nurul Afiqah bagaimanapun dibenarkan mewakili Malaysia di Sukan SEA 2019 Filipina namun PABM mempunyai alasan bagi menepis dakwaan bercanggah berkenaan.

"Itu daripada jawatankuasa disiplin sendiri (keputusan tidak dibenarkan bertanding di SUKMA)," kata Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim.

"Apapun kita masih menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Daripada PABM, kita akan menilai semula laluan itu sama ada terima ataupun sebaliknya.

"Kalau diikutkan, daripada jawatankuasa lalu, kita memang menolak kerana itu adalah salah satu ketetapan dilakukan exco. Ini adalah salah satu langkah kita untuk mencegah dan mengelakkan risiko daripada berlaku perkara yang sama.

"Kalau kita berikan kebenaran, mungkin akan datang ada lagi tetapi bila dalam situasi ini, dengan kita memperketatkan undang-undang dan membuat pengantungan drastik sebegini, mungkin ia tak akan terjadi lagi."

Mengulas lanjut Amirul berkata, isu ini sepatutnya tidak ada sebarang kekeliruan terhadap penyertaan Nurul di Sukan SEA dengan berkata: "Kalau ikutkan, tidak ada pencanggahan kerana di Sukan SEA mewakili negara di peringkat antarabangsa dan di SUKMA mewakili negeri.

"Jadi kesalahan itu (dilakukan Nurul) di SUKMA. Misalnya di peringkat antarabangsa, ada atlet yang tidak dibenarkan bertanding sekali lagi contohnya di Sukan Olimpik seperti mana dilakukan IWF (Perseketuan Angkat Berat Antarabangsa).

"Maknanya di sini, apabila kena doping, secara automatiknya dia digantung untuk Sukan Olimpik dan tak boleh menyertai Olimpik akan datang. Jadi kita mahu perkara ini sama berlaku di sini."

Sebelum ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan kedua-dua atlet berkenaan masih boleh mengemukakan rayuan menerusi Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Negeri Terengganu (PBBABT) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Katanya, mereka ada dua pilihan dengan yang pertama adalah menerusi perbincangan menerusi Jawatankuasa Teknikal SUKMA dan seterusnya mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.



Sumber : Kaji semula penyertaan Nurul Afiqah, Azfar

Post a Comment

0 Comments