Kemas kini maklumat TASKA

Sektor Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) antara terkesan secara langsung ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga kini. Isu diperkata ibu bapa ialah yuran perlu dibayar, walaupun anak mereka tidak hadir ke TASKA sepanjang tempoh PKP.

Bagi pengusaha TASKA pula, mereka berhadapan beban kos yang terpaksa ditanggung membabitkan sewa premis, gaji pekerja dan bil utiliti. Menyedari situasi dan keluh-kesah dihadapi ibu bapa dan pengusaha TASKA, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berusaha memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan untuk meringankan beban pengusaha TASKA.

Sehingga 15 Jun lalu, Sistem Pusat Data Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDC), yang dikelolakan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merekodkan sebanyak 73,125 kanak-kanak yang berdaftar di seluruh negara.

Bilangan pendidik berdaftar melalui sistem NCDC pula berjumlah 21,052, manakala bilangan TASKA yang berdaftar sebanyak 4,997.

NCDC digunakan sebagai pangkalan data dan mengemas kini profil kanak-kanak yang berdaftar di TASKA seluruh negara. Justeru, diharapkan seluruh TASKA di Malaysia untuk membuat pendaftaran baharu serta mengemaskini maklumat masing-masing yang membabitkan TASKA institusi, TASKA di rumah dan TASKA di tempat kerja, sama ada di bawah kerajaan ataupun swasta.

Ini disebabkan permohonan bantuan TASKA yang dikemuka mestilah berdaftar dengan Sistem NCDC UPSI. Melalui sistem ini, kerajaan lebih mudah untuk memantau setiap TASKA yang beroperasi di seluruh negara dari segi bilangan TASKA, maklumat kanak-kanak serta maklumat pendidik terkini.

Data ini membantu kerajaan untuk merancang pelbagai program atau menyalurkan dana bersesuaian untuk memperkembang lagi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Selain itu, melalui pengemaskinian data dalam rekod NCDC, ia memberi kelebihan kepada pihak TASKA untuk mendapat pelbagai maklumat mengenai perkembangan kanak-kanak. Sistem NCDC dijana untuk menyediakan data perkembangan kanak-kanak dari bayi hingga empat tahun.

Data perkembangan itu merangkumi fizikal, sahsiah, bahasa, deria, logik dan kreativiti yang membabitkan kanak-kanak. Ini membantu pengusaha TASKA supaya lebih mudah untuk mengakses maklumat diperlukan secara lebih sistematik dan cepat.

Melalui data disediakan, pengusaha TASKA memperoleh maklumat berkaitan perkembangan kanak-kanak. Ini membantu pihak TASKA menyediakan intervensi bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak dari sudut perkembangan harus dicapai.

Pihak TASKA juga akan mendapat manfaat daripada segi sistem data sistematik serta mesra akses untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini mengenai demografi kanak-kanak, ibu bapa dan tenaga pengajar serta rekod pendaftaran pengusaha TASKA seluruh negara.

Selain itu, pihak TASKA akan mendapat pelbagai manfaat lain daripada sudut jaringan bersama NCDRC UPSI yang mengendalikan Sistem NCDC. Antara manfaat diperoleh ialah kerjasama dalam perkongsian ilmu membabitkan kepakaran dalam bidang kanak-kanak seperti penganjuran bengkel, penerbitan buku dan produk yang dikeluarkan bersesuaian dengan kanak-kanak di TASKA.

Dalam tempoh pasca pemulihan COVID-19, kita menyedari pengusaha TASKA mengalami perubahan besar dalam proses untuk kembali memulakan operasi yang membabitkan norma baharu.

Justeru, semua pengusaha TASKA perlu berdaftar dengan pihak JKM dan seterusnya memasukkan data dalam sistem NCDC untuk memudahkan sebarang permohonan dana bantuan daripada kerajaan.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)



Sumber : Kemas kini maklumat TASKA

Post a Comment

0 Comments