Laku lagikah jenama ‘Bossku’ lepas Najib disabit di mahkamah?

Tinjauan badan penyelidik Merdeka Center baru-baru ini mendedahkan enam daripada 10 pengundi Melayu ternyata bersetuju dengan keputusan bersalah yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas bekas perdana menteri, Najib Razak.

Merujuk kepada keputusan mahkamah dalam kes SRC International Sdn Bhd itu, sebanyak 61 peratus responden bersetuju manakala 18 peratus tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dengan 57 peratus responden Melayu bersetuju.

Bukan itu saja, 74 peratus responden berbangsa Cina bersetuju dengan keputusan mahkamah tersebut manakala 63 peratus responden India juga memberikan persepsi yang sama mengenai perkara tersebut.

Ia sekaligus seakan-akan menyokong dakwaan sesetengah pihak terutama di kalangan ahli Umno yang menganggap Najib sebagai punca kekalahan BN pada pilihan raya umum yang lalu.

Justeru, jika diikutkan dengan keputusan tinjauan tersebut, maknanya Najib bukan lagi suatu aset dalam percaturan politik BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana beliau telah ‘disahkan’ terlibat dalam pelakuan rasuah.

Walaupun masih berpeluang membuat rayuan di dua mahkamah lagi bagi mengelakkan hukuman penjara, namun “jenama Bossku” ini seakan mengalami kerosakan jangka panjang yang memungkinkan Najib untuk melupakan terus dunia politik tempatan.

Jika umum mempercayai hasil tinjauan Merdeka Center ini, Najib juga berdepan dengan kemungkinan ‘dibersarakan’ daripada terlibat dalam apa jua kempen BN oleh pimpinan tertinggi Umno atas alasan tidak lagi relevan untuk menjana kemenangan.

Namun, persoalan yang bermain di minda banyak pihak, kemunculan Najib di serata tempat terutama semasa pilihan raya kecil (PRK) termasuk di Slim, baru-baru ini, mungkin memberi gambaran yang berlainan berbanding tinjauan Merdeka Center ini.

Najib dikerumuni, ramai yang ingin swafoto dan bersalaman dan beliau tetap dijemput untuk naik ke pentas ceramah bagi menyampaikan ucapannya dengan tepukan gemuruh dari para hadirin, seolah-olah “Bossku” masih lagi seorang perdana menteri.

Najib hanya menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menyiarkan banyak gambar, mengkritik lawan politiknya dan beliau masih mempunyai ‘peminat’ tersendiri.’

Sekaligus, memberi persepsi Najib mahu kekal di persada politik negara pada PRU15 nanti dan mungkin membuat kemunculan semula.

Mungkin, keadaan ini akan menambah dilema dan kekusutan Umno yang sedang berdepan urusan pembahagian kerusi yang sangat kompleks dengan Bersatu dan PAS sama ada masih mahu terus ‘mempertahankan’ Najib atau sebaliknya.

Apapun keputusannya nanti, pastinya rakyat negara ini akan bertanggungjawab untuk menentukan kerajaan yang sah untuk lima tahun yang mendatang sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, seperti yang dicanangkan pihak-pihak tertentu sebelum ini.

Mampukah aura Najib menarik sokongan rakyat kepada BN akan diterjemahkan kelak? Rakyat akan menentukan.

The post Laku lagikah jenama 'Bossku' lepas Najib disabit di mahkamah? first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments